Khatan Sampai Terpotong Saluran Kencing

KUALA LUMPUR – Budak lelaki berusia 10 tahun kini menanggung derita apabila terpaksa membuang air kecil menggunakan tiub dan tiga kali dibedah selepas terpotong sebahagian kepala kemaluan ketika berkhatan pada November lalu.

 

Bapanya, Mohd Hadzmie Hussin, 35, dari Sungai Buloh berkata, anak sulungnya, Mirza Nabil Mohd Hadzmie, 10, berkhatan di surau berhampiran rumahnya dalam majlis berkhatan yang dianjurkan oleh kerajaan negeri Selangor pada 25 November lalu.

 

“Pada mulanya saya tidak curiga apa-apa apabila anak saya berkhatan selama sejam kerana menganggap ia perkara biasa.

 

“Bagaimanapun, selepas pulang ke rumah, darah dari kemaluan anak saya tidak berhenti. Saya hubungi semula pembantu pegawai perubatan yang menjalankan proses berkhatan itu, namun diminta merujuk ke Hospital Selayang,” katanya yang turut memaklumkan sudah membuat laporan polis.

 

Menurutnya, ketika tiba di hospital kulit di bahagian kemaluan anaknya bertukar hitam.

 

“Mereka (doktor) tidak dapat berbuat apa-apa kerana mendakwa sel kulit sudah mati. Saya membawa anak ke hospital swasta sebelum anak saya terpaksa menjalani pembedahan.

 

“Pembedahan itu untuk menyambungkan semula sebahagian kepala kemaluan kerana doktor memberitahu saluran kencing anak saya terpotong,” katanya.

 

Mohd Hadzmie berkata, pembedahan yang dilakukan gagal menyebabkan doktor terpaksa memasukkan tiub untuk memudahkan anaknya membuang air kecil.

 

“Anak saya terpaksa menjalani pembedahan tiga kali, antaranya untuk masukkan tiub terus ke pundi kencing supaya bahagian kemaluan tidak dijangkiti.

 

“Bukan saja dia terpaksa bawa beg air kencing ke mana-mana dan tidak ke sekolah kerana terpaksa cuti selama sebulan malah dia juga dinasihatkan supaya tidak bersukan selama setahun untuk sembuh,” katanya.

 

Menurutnya, dia kesal dengan tindakan pembantu pegawai perubatan berkenaan kerana tidak jujur memberitahu hal sebenar.

 

“Jika malam kejadian mereka memberitahu perkara sebenar, mungkin saya boleh ke hospital terus,” katanya.

 

Mohd Hadzmie berkata, dia akan merujuk perkara ini ke mahkamah untuk memfailkan saman.

 

Kejadian berkenaan adalah kali ketiga sepanjang cuti sekolah kerana pada Disember lalu dua kejadian sama berlaku pada bulan itu.

 

Pada 15 Disember lalu seorang bapa menyaksikan sendiri bagaimana kepala kemaluan anak lelakinya berusia sembilan tahun digunting sehingga putus dan terjatuh di atas kain ketika berkhatan di klinik swasta di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

 

Lebih menyedihkan, usaha menyambung semula kemaluan kanak-kanak itu gagal kerana selepas seminggu disambung, ia bertukar menjadi hitam dan doktor tidak mempunyai pilihan kecuali memotongnya.

 

Pada 20 Disember lalu pula, budak lelaki berusia 10 tahun putus kemaluan ketika berkhatan apabila doktor ‘terlebih potong’ di klinik keluarga di Cheras.

 

Difahamkan kejadian berlaku ketika mangsa berkhatan menggunakan kaedah laser pada 8.20 malam.

 

Harian Metro melaporkan, sumber polis berkata, pembedahan terbabit dilakukan seorang doktor berpengalaman berusia lewat 40-an.

 

“Bagaimanapun difahamkan doktor terbabit secara tidak sengaja terlebih potong sehingga ke bahagian kepala kemaluan kanak-kanak terbabit sewaktu melakukan pembedahan laser.

 

“Susulan kejadian itu, doktor terbabit memaklumkan kejadian kepada keluarga kanak-kanak terbabit sebelum mangsa dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM) untuk rawatan lanjut. – HMetro

One thought on “Khatan Sampai Terpotong Saluran Kencing

  • January 12, 2017 at 9:40 am
    Permalink

    Belum pernah lagi saya dengar zaman tok mudim khatankan anak orang sampai terpotong-potong ni. Apakah doktor itu rabun sampai tak boleh bezakan mana lebihan kulit dan mana isi. Atau kerana dia fikir dia doktor maka dia boleh potong sesuka hati. Tidak ada istilah cuai atau ‘ter’ dalam berkhatan ni sebab ia melibatkan terus alam dewasa tahun-tahun mendatang anak-anak itu. Doktor yang konon-konon belajar tinggi tu pon takkan tak boleh guna akal untuk berfikir. Inilah masalah-masalah doktor-doktor di Malaysia sekarang. Nak tunjuk diri tu hebat sebab jadi doktor. Kementerian kesihatan pon satu hal. Pergi letak doktor pelatih untuk khatan anak orang buat apa. Yang dah terpotong sekiranya dah rosak boleh dicari gantikah? Mahukah doktor yang dah merosakkan masa depan anak-anak ini untuk berkeluarga ini memberikan kemaluannya sebagai ganti sekiranya boleh. Sudah tentu tidak. Justeru itu kerajaan Malaysia khususnya menteri-menteri yang terbabit wajib buka mata besar-besar lagi luas dalam isu yang amat sensitif ini. Saya sendiri ada anak lelaki. 2 atau 3 tahun lagi akan berkhatan. Saya menangis melihat gambar kemaluan anak yang dikhatan oleh doktor cacat gara-gara cuai dan tidak jujur memberitahu hal yang sebenar. Saya yakin doktor itu doktor muda dan masih belum bekeluarga kerana tidak ada sifat empati dalam dirinya. Doktor ini sesuai kerja di kandang lembu saja. Semoga anak ini cepat sembuh dan saya doakan yang terbaik buat dirinya dan tabah harungi hari-hari mendatang

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.