80 Penduduk Kampung Naik Bot Tunai Solat Jumaat

TUMPAT – Seramai 80 penduduk Kampung Simpangan Hilir, Pengkalan Kubor, di sini, terpaksa menaiki bot untuk ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat selepas kampung mereka ditenggelami air sejak empat hari lalu.

 

Lima bot galah serta tiga bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pengkalan Kubor disediakan kepada penduduk kampung sejak awal jam 12 tengah hari tadi.

 

Imam Masjid Kampung Simpangan Hilir, Ismail Awang Mat, 67, berkata setiap kali banjir tiba, penduduk kampung terpaksa ke masjid menunaikan solat Jumaat dan solat fardu dengan menggunakan bot.

 

“Situasi penduduk kampung menaiki bot pada musim tengkujuh sudah menjadi kebiasaan dan mereka juga akan melakukan persiapan sebelum kampung ini terputus hubungan darat.

 

“Biarpun terpaksa meredah banjir sedalam tiga meter, mereka tetap datang ke masjid untuk menunaikan kewajipan masing-masing.

 

Alhamdulillah masjid ini tidak dinaiki air,” katanya ketika ditemui selepas solat Jumaat, di sini, hari ini.

 

Penduduk, Hamad Hamid Isa, 42, berkata cuaca yang baik pada hari ini membolehkan ramai penduduk kampung datang menunaikan solat Jumaat.

 

“Sebanyak 40 kampung kecil dalam Mukim Simpangan Hilir terjejas akibat banjir sejak Selasa lalu,” katanya.-BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.