Jenazah Kapten Hasman Diberi Penghormatan Ketenteraan

SEPANG – Jenazah pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Kapten Hasman Hussin, yang meninggal dunia selepas kenderaan dinaikinya hanyut dalam kejadian banjir di Missouri, Amerika Syarikat, diberi penghormatan ketenteraan di kompleks kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini apabila tiba di tanah air hari ini.

 

Suasana pilu menyelubungi perkarangan kompleks kargo itu apabila jenazah Allahyarham diusung sembilan pegawai dari Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD).

 

Jenazah tiba di tanah air dengan pesawat China Airlines kira-kira 1.18 tengah hari.

 

Keranda jenazah yang dibaluti Jalur Gemilang yang diusung itu dibawa ke dalam van jenazah Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

 

Turut mengiringi, isteri Allahyarham Siti Hazwani Ahmad, 29, anggota keluarga serta kenalan dari kalangan anggota tentera.

 

Turut hadir di perkarangan kompleks kargo itu ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Timbalan Panglima Tentera Darat Lt Jen Datuk Ahmad Hasbullah Nawawi dan Ketua Jurutera RAJD Datuk Pahlawan Ir Abdul Nasser Ahmad.

 

Van yang membawa jenazah meninggalkan perkarangan kompleks kargo KLIA menuju ke Melaka kira-kira 2.35 petang dengan diiringi sebuah bas milik ATM yang membawa isteri serta anggota keluarga Allahyarham.

 

Jenazah akan diberikan penghormatan terakhir dan disolatkan di Masjid As-Syuhada Kem Terendak sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Durian Daun, Masjid Tanah.

 

Hasman, 33, yang sedang menjalani kursus di Fort Leonard Wood sejak 1 Okt lepas dilaporkan hilang pada 26 Dis apabila kenderaan yang dinaiki bersama rakan kolejnya dihanyutkan banjir di Missouri, yang turut meragut nyawa empat rakannya.

 

Rabu lepas, Markas Tentera Darat mengesahkan mayat Allahyarham dijumpai pada 11 pagi, 28 Dis waktu tempatan (1 pagi, 29 Dis waktu Malaysia).

 

Allahyarham meninggalkan isteri Siti Hazwani Ahmad dan tiga anak lelaki berusia tiga tahun dan pasangan kembar berusia kira-kira tiga bulan.

 

Rakan setugas Hasman, Kapten Mohd Azim Mahmud yang ditemui di perkarangan kompleks kargo itu menyifatkan Allahyarham mempunyai keperibadian yang baik sebagai ketua dan suka memberi nasihat kepada pegawai dan anggota lain.

 

Mohd Azim yang bertugas di Pasukan Skuadron Keempat RAJD (Jambatan) berkata kali terakhir beliau berjumpa dengan rakannya itu ialah beberapa hari sebelum Allahyarham berlepas ke Amerika Syarikat.

 

“Antara nasihat berguna yang arwah sampaikan kepada saya adalah kita tidak boleh berkira dan (perlu) ikhlas dalam melakukan sesuatu pekerjaan,” katanya yang mengenali arwah sejak lima tahun lepas.

 

Seorang lagi rakan Allahyarham, Mejar Mohd Syahrizzat Sabuddin pula menyifatkan Hasman sebagai seorang yang berbakat besar dalam bidang ketenteraan dan pemergiannya merupakan kehilangan besar buat pasukan tentera. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.