Dua Lelaki Menyamar Polis Trafik Ditahan

KUALA LUMPUR – Dua lelaki ditahan kerana menyamar sebagai anggota polis trafik dengan memakai seragam dan menunggang motosikal seperti digunakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini, malam tadi. Mereka ditahan pada jam 7 malam tadi ketika sedang mengiring tiga kenderaan mewah di Jalan Bukit Bintang.

 

Suspek berusia 38 tahun itu memakai pakaian tertera logo PDRM dan menunggang motosikal jenis Honda CBX 750 yang diubahsuai dengan mempunyai siren, walkie talkie dan beberapa kelengkapan lain, sama seperti motosikal polis trafik.

 

Difahamkan, suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan berniaga sendiri itu turut menyamar sebagai anggota polis.

 

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan S Markandan, berkata anggota polis yang melakukan rondaan di kawasan berkenaan mendapati suspek menunggang dua motosikal sedang mengiring tiga kenderaan mewah.

 

“Anggota bertindak menahan mereka (suspek) dan membawa mereka ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut.

 

“Kita sedang mengesan tiga pemilik kenderaan mewah untuk membantu siasatan,” katanya pada pemberita di sini, sebentar tadi.

 

Markandan berkata, polis mengambil keterangan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana cuba menyamar sebagai anggota polis.

 

“Suspek memberitahu dia membeli motosikal terbabit daripada individu dengan harga RM9,000,” katanya.-BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.