F1: Massa dapat jurutera baharu

PELUMBA pasukan Formula Satu Williams dari Brazil, Felipe Massa. – Foto The Independent

LONDON: Pelumba Formula Satu (F1) Brazil, Felipe Massa memperoleh jurutera baharu musim ini selepas pasukan Williams F1, semalam mengumumkan rombakan teknikal.

 

Bekas jurutera perlumbaan Jenson Button, Dave Robson akan bekerjasama dengan bekas pelumba Ferrari itu selepas bertindak meninggalkan pasukan McLaren.

 

Tempatnya sebelum ini diisi Andrew Murdoch yang kini menjawat jawatan baharu iaitu jurutera prestasi senior pasukan Williams.

 

“Andrew akan mengetuai Kumpulan Prestasi di dalam kilang, membangunkan teknik dan proses baharu bagi pasukan kejuruteraan untuk memastikan peningkatan prestasi berterusan akan dibawa kepada kedua-dua jentera sepanjang musim,” kata Williams dalam kenyataan.

 

Seorang lagi pelumba Williams, Valtteri Bottas dari Finland akan meneruskan kerjasama bersama jurutera perlumbaan, Jonathan Eddolls.

 

Williams menamatkan saingan 2014 di kedudukan ketiga kategori pengeluar dan mensasarkan untuk mencabar juara, Mercedes yang membekalkan mereka enjin, musim ini. – Reuters

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.