Barcelona pecat Pengarah Sukan, Puyol letak jawatan

MADRID: Gelora yang melanda gergasi Sepanyol, Barcelona berterusan berikutan pemecatan Pengarah Sukan, Andoni Zubizarreta manakala pembantunya, Carles Puyol meletakkan jawatan.

 

Kelab Catalan itu tidak memberi penjelasan mengapa mereka memecat Zubizarreta yang juga bekas penjaga gol Barca pada era 1986 sehingga 1994.

 

Selain itu, Barca juga tidak memberikan nama bagi calon menggantikan tugas Zubizarreta yang juga bekas penjaga gol kebangsaan Sepanyol.

 

Keputusan mengejut itu hadir sehari selepas kekalahan mengejut 0-1 Barcelona kepada Real Sociedad, semalam dan kurang seminggu selepas rayuan mengenai penggantungan pembelian pemain kelab itu ditolak pihak mahkamah.

 

Tahun lalu, Zubizarreta, 53 memperbaharui kontraknya bersama Barcelona sehingga 2016.

 

Sepanjang menjawat jawatan Pengarah Sukan, Zubizarreta membantu Barcelona memenangi gelaran La Liga sebanyak dua kali iaitu pada 2011 dan 2013 selain menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah pada 2011.

 

Begitupun, kegagalan Barcelona menjulang sebarang kejuaraan tahun lepas menambah panas kerusi Zubizarreta yang dikatakan gagal menambah kekuatan Barcelona di bahagian pertahanan, musim panas lepas. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.