Banjir Singkap Semangat Perpaduan 1971 Penduduk Kg Bertang

LIPIS – Semasa banjir besar melanda Pahang termasuk Kampung Bertang di Kuala Lipis pada Januari 1971, Mohd Zulkefely Akob, hanyalah kanak-kanak, berusia 11 tahun.

Namun, perasaan cemas Mohd Zulkefely, 54, ketika menghadapi kejadian yang berlaku 43 tahun lalu, berulang apabila kampungnya sekali lagi dilanda banjir besar pada 23 Dis lepas apabila paras air Sungai Jelai naik mendadak setelah hujan turun tidak berhenti-henti selama seminggu.

“Orang kampung yang ada perahu ketika itu (1971) membantu menyelamatkan penduduk dan dibawa berpindah ke Masjid Kampung Bertang yang berada di kawasan tinggi, tanpa sebarang persediaan lengkap.

“Waktu itu, penduduk bergotong-royong dan masak bersama-sama menggunakan bahan yang ada menyebabkan keadaan tak ubah seperti majlis keraian. Langsung tak terasa pula seperti jadi mangsa banjir,” katanya ketika ditemui Bernama di sini, baru-baru ini.

Kini, katanya keadaan banjir besar sekali lagi berulang dan beliau sekarang adalah ketua kampung, yang bertanggungjawab ke atas 50 keluarga yang terbabit dalam banjir yang berlaku pada 23 Dis lalu.

“Tidak pernah saya bayangkan sejarah banjir besar akan berulang, malah lebih teruk tahun ini. Rumah saya di kawasan tinggi turut dinaiki air sehingga paras dada manakala di kawasan rendah ada air setinggi atap rumah,” katanya.

Mohd Zulkefely bagaimanapun bersyukur kerana semangat kemasyarakatan ketika bah pada 1971 terus subur dalam diri penduduk meskipun di sesetengah kawasan ia semakin pudar.

“Sekarang sudah tidak ramai yang mempunyai perahu. Namun, sesiapa yang memilikinya baru-baru ini turut membantu memindahkan penduduk tanpa memikirkan keadaan rumah atau mahu menyelamatkan peralatan sendiri terlebih dahulu.

“Suri rumah pula membawa bahan basah yang ada di dalam peti sejuk masing-masing untuk dikumpulkan, dimasak dan dimakan beramai-ramai sementara menunggu bantuan, memandangkan dua jambatan di sini tidak boleh dilalui,” katanya.

Malah, katanya, seorang daripada penduduk kampung juga sanggup menderma bahan masakan yang sepatutnya digunakan untuk majlis kenduri arwah warisnya semata-mata untuk membantu orang kampung yang hampir putus bekalan makanan.

Katanya walaupun bencana banjir itu dilihat telah menyebabkan mangsa banjir kehilangan harta benda, namun dari aspek positifnya bencana itu bagaikan telah menyuburkan kembali semangat kerjasama, bantu membantu tanpa mengira kaum dan agama.

“Bantuan kita terima daripada pelbagai pihak dan sukarelawan sebaik sahaja laluan ke kampung ini boleh dilalui.

“Walaupun tidak saling mengenali, tapi mereka (sukarelawan) turut berkongsi kesedihan penduduk kampung dengan menghulurkan bantuan barangan dan tenaga dengan membantu penduduk kampung membersihkan rumah,” katanya.

Kini, sukarelawan bergotong-royong membersihkan rumah penduduk kampung secara giliran dan ia dilakukan tanpa sebarang upah atau mengharapkan tuan rumah menyediakan makanan atau minuman.

“Anak-anak muda yang masih bersekolah juga dilibatkan, sehinggakan ada masa mereka yang bertanya giliran rumah siapa pula (untuk dibersihkan). “Semangat ini perlu disemai sejak kecil. Kudrat mereka lebih kuat berbanding kami yang tua,” katanya.

Beliau berkata, dengan adanya sistem telekomunikasi yang lebih canggih, bantuan yang diberikan kepada mangsa banjir kali ini juga lebih tersusun dan pantas. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.