Kerajaan Bincang Naikkan Tarif Air, Sudah 20 Tahun Tidak Disemak Kenaikan – Menteri

Perbincangan mengenai kenaikan tarif air sedang dilaksanakan dengan semua negeri dan secara dasarnya ia sudah dipersetujui, kata Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar.

Beliau berkata, perbincangan akan berkisar mengenai kewajaran kenaikan tarif air kerana ia tidak pernah disemak dalam tempoh 20 tahun.

“Saya boleh katakan semua (negeri) setuju, kita akan bentangkan kepada setiap negeri kewajaran tarif air dinaikkan.

“Dalam masa sama kerajaan memberi jaminan kenaikan tarif air yang dijangka dilaksanakan tahun depan.

“Kenaikan kos utiliti tidak akan melebihi dua peratus daripada pendapatan isi rumah dan kadar ini munasabah,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Lawatan Bangunan Asrama Sekolah Kebangsaan Jenis Tamil Ladang Midlands, Seksyen 7, Shah Alam hari ini.

Sebelum ini, Xavier berkata, kadar baharu tarif air bagi semua negeri mungkin diumumkan hujung tahun ini.

Bagaimanapun beliau berkata, perkara itu akan dibawa kepada Kabinet untuk dibincangkan terlebih dulu.

Katanya, kerajaan akan memastikan kenaikan itu kelak tidak membebankan rakyat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.