Tindakan Arah Sivarraajh Keluar Dewan Bertentangan Perkara 50 Perlembagaan Persekutuan

Oleh: Naimah Shaari

 

KUALA LUMPUR – Tindakan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Dato’ Mohamad Ariff
bin Md Yusof yang mengarahkan Ahli Parlimen Cameron Highlands, Dato C Sivarraajh meninggalkan parlimen selepas didesak Ahli Parlimen Jelutong dipandang serius oleh Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid dalam satu kenyataan media hari ini berkata, tindakan tersebut ternyata bertentangan dengan dengan Perkara 50 Perlembagaan Persekutuan kerana keputusan pilihan raya Cameron Highlands masih lagi dalam proses rayuan.

Malah katanya, Sivarraajh masih lagi memegang jawatan sebagai ahli parlimen yang sah.

“Ini kerana kes pembatalan keputusan pilihan raya Cameron Highlands masih lagi dalam proses rayuan dan beliau masih lagi Ahli Parlimen yang sah.

“Tidak ada sebab Dato Sivarraajh diusir semata-mata kerana desakan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, tanpa meneliti peruntukan Parlimen,” kata Zahid.

Kata Zahid lagi, keputusan pembatalan kemenangan Sivarraajh di Cameron Highland tidak ada kaitan dengan kehadirannya di Dewan Rakyat selain kerusi tersebut tidak boleh dibiarkan kosong di parlimen mengikut Perkara 50 Perlembagaan Persekutuan.

“Justeru itu, keputusan membatalkan kemenangan beliau di Cameron Highlands tidak ada kaitan dengan kehadiran di sidang Dewan Rakyat kerana beliau akan membuat rayuan dalam tempoh 14 hari yang ditetapkan.

“Oleh itu, kerusi Parlimen Cameron Highlands tidak boleh dikosongkan mengikut Perkara 50 Perlembagaan Persekutuan sehingga Hakim Pilihan Raya memperolehi keputusan kes rayuan Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Mengulas mengenai pembatalan keputusan kemenangan ahli parlimen berbangsa India itu, Zahid menerangkan pilihan raya kecil mungkin akan dilaksanakan dan dalam masa yang sama permohonan rayuan boleh dibuat di Mahkamah Rayuan.

Rayuan tersebut boleh dikemukakan dalam masa 14 hari selepas tarikh keputusan diumumkan.

“Apabila Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan beliau dan menyebabkan kemungkinan satu pilihan raya kecil diadakan, pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut boleh membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

“Mereka boleh memfailkan notis rayuan dalam masa 14 hari dari tarikh keputusan sepertimana termaktub di bawah Seksyen 36A(2) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Jika dirujuk Seksyen 36C akta tersebut pula, keputusan Hakim Pilihan Raya adalah muktamad hanya setelah tiada sebarang rayuan yang difailkan dalam masa 14 hari dari tarikh keputusan,” tambah Zahid.

Berlandaskan Perkara 50 tersebut, Yang Dipertua Dewan Rakyat perlu membenarkan Sivarraajh menghadiri sidang parlimen seperti yang diperuntukkan di bawah Undang-undang Pilihan Raya. – Suara.TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.