Selepas Seminggu Di IJN, Muhammad Adib Semakin Pulih

SHAH ALAM – Selepas seminggu menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), keadaan kesihatan anggota bomba yang diserang perusuh dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, Muhammad Adib Mohd Kassim semakin pulih.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Malaysia, Zuraida Kamaruddin yang meluangkan masa melawat Muhammad Adib di IJN, hari ini.

“Hari ini saya berkesempatan untuk melawat Pegawai Bomba Muhammad Adib di Institut Jantung Negara (IJN), sukacita dimaklumkan keadaan beliau semakin pulih walaupun masih lagi perlu menjalani rawatan intensif,” kata Zuraida dalam satu kenyataan. 

Zuraida dalam masa yang sama menyatakan penghargaan kepada pasukan perubatan di IJN dan Subang Jaya Medical Centre yang telah merawat Muhammad Adib sebelum ini. 

“Terima kasih juga diucapkan kepada Timbalan Menteri Perpaduan, YB Datuk Wira Dr Md Farid Bin Md Rafik diatas keprihatinan dan nasihat beliau dalam memastikan Muhammad Adib mendapat rawatan perubatan terbaik. 

“Saya juga ingin menyampaikan sekalung penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah memberikan sumbangan dalam pelbagai bentuk dan sentiasa berdoa untuk kesembuhan Muhamad Adib. 

“Semoga Tuhan memberkati dan membalas jasa anda semua,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi Selasa, minggu lalu, Muhammad Adib, 24, diserang apabila pasukannya tiba di lokasi selepas mendapat maklumat sebuah kereta terletak di luar kuil terbakar. 

Muhammad Adib yang duduk di bahagian penumpang hadapan unit EMRS ditarik keluar oleh kumpulan perusuh sebelum dipukul beramai-beramai.

Akibat serangan tersebut, pemuda itu mengalami kecederaan parah dengan patah tulang rusuk. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.