Polis Cari 38 Individu Bantu Siasatan Rusuhan Kuil

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesan 38 lagi individu bagi membantu siasatan rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, Subang Jaya, minggu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, berkata pihaknya memohon kerjasama mereka yang terbabit supaya tampil bagi membantu siasatan.

“Pada masa sama, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai individu terbabit boleh menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Deputi Superintendan G K Shan Gopal di talian 019-2714387.

“Mereka juga boleh menghubungi ASP Siasatan Perundangan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Asisten Superintendan S Neeraj Durai di talian 016-3565622,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, orang ramai juga boleh menghubungi Inspektor Siasatan Databank DNA Jabatan Siasatan Jenayah IPK Selangor, Inspektor Norsiah Hussin di nombor 012-7989973.

“Kerjasama dari semua pihak amat dihargai bagi membantu siasatan polis,” katanya.

Insiden rusuhan yang bermula Isnin lalu itu menyebabkan 23 kenderaan musnah dibakar, manakala cermin sebuah pusat beli-belah turut dipecah dan dirosakkan.

Setakat jam 8 pagi tadi, seramai 99 individu sudah ditahan dipercayai terbabit dalam rusuhan di sekitar kuil berkenaan. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.