Pokok ‘Bangkit Dari Mati’ Di Bukit Gayung

MEREKA yang berjiwa alam semulajadi pasti akan berasa resah sekiranya tidak dapat memanfaatkan cuti hujung minggu dengan aktiviti mendaki bukit atau gunung, merentas denai hutan serta merintis laluan yang dipenuhi pokok resam dan bertam.

Seringkali kerinduan ‘bau hutan’ mengamit kenangan saat berdepan dengan hiruk pikuk kota yang padat dek arus pembangunan.

Di tambah dengan keunikkan dan keindahan ‘penghuni hutan’, sudah cukup untuk membuatkan hati tidak keruan setiap kali tibanya cuti hujung minggu.

Atas alasan itu juga, Kumpulan Pendaki Busut atau ringkasnya Team Busut menganjurkan satu lagi misi pendakian santai di Bukit Gayung dan Bukit Bohan yang terletak di Muadzam, Pahang pada Ahad lalu.

Di sebabkan jarak perjalanan agak jauh dari Kuala Lumpur, perjalanan ke Bandar Muadzam dimulakan pada Sabtu malam seusai solat Isyak.

Setelah hampir 4 jam memandu, kami tiba di pekan Muadzam.

Hasrat untuk berkhemah di puncak Bukit Ridan terpaksa dibatalkan, kerana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.

Kami kemudiannya menjadikan perkarangan Masjid Tengku Ampuan Afzan sebagai tempat untuk berehat sementara menunggu hari cerah.

Sebaik membersihkan badan dan menunaikan solat Subuh, kami segera bertolak ke kaki bukit yang terletak di ladang Felda Keratong Timur.

Selepas bacaan doa dan pembahagian tugas, kami seramai 8 orang segera memulakan pendakian.

Masing-masing mempunyai peranan dan tanggungjawab yang tersendiri. Sebagai contoh Juhaini Abdul Rahman dan Mohd Mukhlis Mohd Yusof bertindak sebagai ‘pembuka laluan’.

Mereka di tugaskan untuk menebas dan mencantas semak dan pokok-pokok berduri di sepanjang laluan.

Manakala Rizal Malik bertindak sebagai ‘sweeper’ iaitu individu paling akhir di dalam kumpulan kami.

Beliau bertanggungjawab untuk memastikan tiada yang ditinggalkan di belakang.

Seterusnya Nur Salsabila Ahmad Sabri dan Nurul Izzati Mohd Zaki di tugaskan untuk membuat penanda laluan, kerana trek yang kami lalui jarang digunakan orang.

Maka laluan yang telah bertanda boleh mengelakkan kami dari sesat ketika pulang nanti.

Sementara itu Azidah Aziz dan Tuan Hazlin Tuan Rosli ditugaskan sebagai pasukan medik yang membawa peralatan perubatan.

Ia sangat penting sekiranya ada di kalangan kami yang tercedera ketika mendaki.

Manakala aku sendiri bertindak sebagai pembaca peta, yang bertanggungjawab untuk memastikan laluan yang diambil sesuai dan selamat.

Di peringkat permulaan, laluan kami agak mudah dan landai kerana melalui kebun kelapa sawit.

Namun disebabkan cuaca hujan, perjalanan menjadi sedikit perlahan disebabkan laluan tanah merah yang licin.

Selepas 30 minit berjalan, kami akhirnya tiba di pintu rimba.

Namun di sebabkan aktiviti pembalakan kawasan yang dahulunya menghijau kini hampir ‘botak’ kerana terpaksa memberi ruang kepada arus pembangunan.

Walaupun laluan dari pintu rimba ke puncak Bukit Gayung agak jauh, namun kehadiran flora dan fauna di sepanjang laluan amat mempersonakan.

Antaranya kehadiran deretan pokok periuk kera atau nama saintifiknya, ‘nepenthes sepp’ membuatkan kami begitu teruja.

Masa banyak dihabiskan untuk meneliti dan mengambil gambar tumbuhan-tumbuhan herba yang unik ini.

Sungguh mempesonakan, kerana tumbuhan ini merupakan satu-satunya pokok pemangsa dan merupakan sebahagian khazanah rimba negara.

Tidak cukup dengan itu kami turut disajikan dengan kehadiran beberapa spesis pokok herba ‘selaginella’.

Antaranya paku plana (selaginella plana), paku serani (staghorn clubmoss) dan genggam fatimah (selaginella lepidophylla) yang agak sukar untuk ditemui.

Antara keunikkan tumbuhan herba gurun ini ialah keupayaannya untuk hidup meskipun dalam cuaca yang panas dan kering.

Di sesetengah tempat, tumbuhan ini turut dikenali sebagai pokok kebangkitan kerana dikatakan mampu untuk hidup kembali setelah ‘mati’.

Ini kerana sekiranya musim panas atau kering tumbuhan ini akan mengecut dan bergulung seperti bola.

Ketika musim hujan pula ia akan mengembang dan kembali ke bentuk asal.

Paling menarik pokok ini juga dikatakan mampu untuk hidup kembali walaupun telah dicabut dan diawetkan.

Ketika hampir tiba di pucak, kami turut di beri kesempatan untuk melihat beberapa spesis pokok orkid hutan yang sedang kembang mekar.

Setiba di puncak, kami seakan terpaku melihat keindahan alam yang luas terbentang.

Di tambah dengan kehijauan pokok-pokok sawit yang merimbun begitu mempesonakan mata yang memandang.

Disebabkan baru lepas hujan, pemandangan sedikit berkabus dan berangin.

Awan yang kelihatan bergerak laju menjadikan langit seperti lampu yang berkelip. Sekejap putih dan sekejap biru.

Struktur ‘bay-route’ (atau dalam bahasa teknikal dikenali sebagai stesyen trigonometri) yang masih berdiri juga seperti melengkapkan perjalanan kami pada hari itu.

Secara keseluruhan kami mengambil masa sekitar 4 jam untuk menawan bukit yang mempunyai ketinggian sekitar 340m ini.

Walaupun tidak begitu tinggi namun disebabkan laluan yang kami gunakan masih ‘dara’, masa banyak dihabiskan dengan aktiviti menebas dan mencantas untuk membuka laluan.

Malah terdapat tanah runtuh dan pokok tumbang di beberapa tempat, menyebabkan kami terpaksa mencari laluan lain untuk menuju ke puncak.

Bak kata cerdik pandai, jangan pernah mengira ketinggian sesuatu bukit atau gunung kerana masing-masing mempunyai cabaran yang tersendiri.

Hasrat untuk menawan puncak Bukit Bohan pula terpaksa di batalkan kerana struktur tanah yang tidak kukuh.

Tambahan pula terdapat banyak kesan tanah runtuh di lereng-lereng bukit.

Setelah berbincang, kami memutuskan untuk menangguhkan hasrat tersebut bagi mengelakkan kejadian yang tidak diinggini. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.