Kerajaan Akan Siasat Pengguguran 52 Kakitangan Dari Kursus PTD

SHAH ALAM –  Tun Dr Mahathir Mohamad memberi jaminan akan menyiasat kes 52 kakitangan kerajaan yang digugurkan daripada kursus khas pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) sebagaimana yang dilaporkan media baru-baru ini. 

Perdana Menteri itu berkata, kerajaan tidak mahu mana-mana pihak menjadi mangsa dalam usaha kerajaan mengurangkan kos pentadbiran negara.

“Kita akan selidik perkara ini. Kita tak nak sesiapa jadi mangsa dalam usaha kita untuk kurangkan kos pentadbiran negara,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perwakilan 3 tahun sekali, kali ke-21 Persatuan Pekerja Pakaian Seragam Pos Malaysia UPUS di sebuah hotel di sini.

Terdahulu media melaporkan seramai 52 kakitangan digugurkan termasuk 4 pegawai kontrak yang secara automatik kehilangan pekerjaan manakala baki 48 pegawai diarahkan kembali ke jawatan lama mereka dengan segera.

Penamatan kontrak itu berlaku selepas Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menaikkan gred lulus bagi program Diploma Pascasiswazah Pengurusan Awam (DPA) iaitu daripada B kepada A-.

Kesemua mereka yang memulakan kursus sejak April lalu dijadualkan tamat kursus pada 7 Februari tahun depan dan telah mengikuti 80% kursus yang kini berbaki 3 modul lagi untuk disudahkan.

Kumpulan itu mendakwa mereka menerima surat bertarikh 30 Nov yang memaklumkan bahawa mereka gagal memenuhi gred lulus komponen personaliti (komitmen dan disiplin).

Pengarah INTAN, Datuk Suriani Ahmad, sebelum ini yang mengesahkan perkara itu dilaporkan berkata, peserta terbabit sudah ditamatkan dari kursus dan ia diputuskan oleh JPA.

Katanya, peningkatan gred lulus bagi kursus itu diputuskan secara bersama oleh INTAN dan JPA, manakala peserta dijangka mendapat markah lebih tinggi berdasarkan pengalaman kerja tambahan. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.