Iklan Harga Tiket Mengelirukan, AirAsia dan AirAsia X Didenda RM160,000

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mengenakan penalti kewangan terhadap AirAsia Bhd dan AirAsia X Bhd yang masing-masing berjumlah RM160,000 kerana mengiklankan harga tiket penerbangan yang mengelirukan.

Dalam satu kenyataan hari ini, MAVCOM berkata kedua-dua entiti itu telah membuat bayaran penalti penuh kepada suruhanjaya itu pada 26 Oktober dan 9 November lepas.

Menurut suruhanjaya itu, harga tiket tersebut yang diiklankan pada suku kedua tahun ini adalah tertakluk di bawah subperenggan 3(1) Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC).

MACPC menetapkan syarikat penerbangan hendaklah memaparkan harga muktamad atau akhir tambang penerbangan yang perlu dibayar bagi perkhidmatan pengangkutan udara yang ditawarkan atau yang diterbitkan oleh syarikat penerbangan dalam apa-apa bentuk, termasuk dalam internet.

”Harga muktamad yang diterbitkan hendaklah termasuk kesemua cukai, fi, caj, surcaj yang tidak dapat dielakkan pada masa penerbitan. AirAsia Berhad dan AirAsia X Berhad telah dikenakan penalti kewangan berjumlah RM160,000 bagi setiap syarikat penerbangan itu kerana telah mengiklankan harga tiket penerbangan yang memperdayakan pengguna,” kata MAVCOM.

Suruhanjaya itu menjelaskan, sebagai kod perlindungan pengguna pertama khusus industri penerbangan Malaysia, MACPC memberi ketelusan selanjutnya mengenai obligasi pengendali perkhidmatan penerbangan terhadap pengguna serta panduan lebih jelas mengenai hak-hak dan kepentingan mereka sebagai penumpang penerbangan. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.