Aziz Bari Nafi Dalangi Cubaan Jatuhkan MB Perak

IPOH — Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi Dr Abdul Aziz Bari menafikan beliau merupakan dalang untuk menjatuhkan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menerusi undi tidak percaya.

Abdul Aziz yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Negeri menyifatkan tuduhan yang dilemparkan oleh ketua pembangkang Datuk Saarani Mohamad (BN-Kota Tampan) sebagai satu ‘cerita kartun’.

Malah, Abdul Aziz yang juga Naib Pengerusi DAP Perak berkata tuduhan Saarani itu merupakan gimik murahan untuk menarik perhatian dalam politik.

“Dia (Saarani) tuduh saya rancang hendak jatuhkan menteri besar (MB), kita tunggu sampai esok kalau MB masih sama, masih ada (bermakna) dia (Saarani) tipu,” katanya dalam sidang media di luar Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak ke-14 di sini, hari ini.

Terdahulu, Saarani semasa sesi perbahasan Belanjawan Perak 2019 ‘menggambarkan’ Abdul Aziz sebagai dalang komplot untuk menjatuhkan menteri besar.

Menjelas lanjut, Abdul Aziz berkata untuk mengemukakan usul undi tidak percaya itu ia memerlukan resolusi atau ketetapan daripada parti, bukannya boleh dilakukan secara bersendirian.

“Kalau hendak jatuhkan MB kena ada ‘solid’ 30 ADUN menyokong, DAP ada 18 sahaja macam mana nak buat.

“Mana saya boleh buat, machinery tiada, Tiada dalam sejarah undi tidak percaya boleh buat seorang, malah parti pun tidak kata apa, parti nafikan,” katanya sambil meminta Saarani berhenti daripada bermain gosip murahan.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata beliau telah memberi jaminan kepada Ahmad Faizal bahawa tiada sebarang pengkhianatan akan berlaku.

“Saya dah sebut pada MB empat bulan yang lepas di rumah dia, saya bukan untuk menjatuhkan beliau. Jika anda jatuh, kita semua akan jatuh,” katanya. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.