Anuar Zain Mahu Ringankan Tugas Psikiatri, ‘Rawat’ Pesakit Jiwa

KUALA LUMPUR  – Penyanyi Anuar Zain menyimpan hasrat besar untuk membantu meringankan tugas pakar psikiatri di negara ini menerusi lagu-lagu berkualiti nyanyiannya.

 

Katanya, dahulu kakaknya, Ziana Zain pernah menceritakan pengalamannya bertemu dengan seorang peminat wanita yang bersuamikan pesakit jiwa.

 
“Wanita tersebut bercerita dengan kakak saya bahawa suaminya itu telah dimasukkan ke wad psikiatri disebabkan tekanan hidup serta mengalami masalah mental.

 
“Mengetahui lelaki berkenaan sememangnya meminati nyanyian saya, isterinya sering memasang lagu-lagu daripada album terdahulu sebagai salah satu terapi.

 
“Alhamdulillah, dengan izin Allah suaminya kembali sembuh seperti sedia kala dalam tempoh yang singkat, malah doktor mengakui ia salah satu terapi yang wajar,” katanya.

 
Anuar berkata demikian sejurus menyempurnakan sidang akhbar Yonder Music Live Series: Anuar Zain & You yang bakal diadakan pada 21 Januari depan di Panggung Anniversari, Taman Botani Negara, di sini hari ini.

 
Tambah pelantun Andainya Takdir itu, konsertnya kelak merupakan persembahan istimewa yang diadakan sempena mempromosikan album terbaharunya setelah ia dilancarkan pada September lalu dan berjaya dijual sebanyak 11,000 unit. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.