Militan IS Penggal Perisik Rusia

MOSCOW, RUSIA – Seorang lelaki yang didakwa perisik Rusia dipenggal menerusi sebuah video terbaru yang didedahkan kumpulan militan IS, Rabu lalu.

 

Militan IS itu juga mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin.

 

“Kamu tidak akan aman. Kami akan bunuh keluarga kamu. Kami akan musnahkan rumah kamu untuk setiap rumah yang kamu musnahkan di sini,” kata militan tersebut, lapor CNN.

 

Bagaimanapun, tiada sebarang bukti lelaki yang dipenggal itu merupakan seorang perisik. Malah kerajaan Rusia juga tidak memberikan sebarang ulasan berkaitan perkara itu.

 

Menurut seorang anggota kanan Royal United Services Institute, perkara itu bukan kejadian pertama kali militan IS menangkap atau memenggal mangsa yang didakwa seorang perisik.

 

Januari lalu, seorang kanak-kanak lelaki yang didakwa dilatih militan IS dirakam melepaskan tembakan ke arah kepala dua tahanan IS yang juga didakwa perisik.

 

Sebelum itu, seorang pemimpin Chechnya memberitahu agensi berita Interfax bahawa Rusia mempunyai agen di dalam kumpulan militan tersebut.

 

“(Mempunyai agen di dalam kumpulan militan IS) membolehkan kami mengesan individu-individu penting kepada kami,” kata pemimpin Chechnya, Ramzan Kadyrov awal tahun ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.