JAKIM Selar Dakwaan G25

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyelar dakwaan Kumpulan Melayu Profesional (G25) yang mempertikaikan peruntukan yang diberikan oleh kerajaan kepada jabatan itu.

 

Ketua Pengarahnya, Datuk Othman Mustafa berkata, G25 perlu mengetahui bahawa kewujudan JAKIM adalah berperanan membantu kerajaan dalam perkara berkaitan hal ehwal Islam, maka adalah tidak wajar untuk mempertikaikan peruntukan yang diberikan kerajaan setiap tahun.

 

“Jakim selaku jabatan yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri sentiasa beroperasi berlandaskan peraturan dan pekeliling yang ditetapkan. Jakim juga mempunyai kewibawaan yang tinggi dalam pengurusan kewangan.

 

“Selaku bekas pegawai tinggi kerajaan, sewajarnya G25 lebih memahami prosedur kewangan malahan setiap perbelanjaan Jakim berada di bawah pemantauan Kementerian Kewangan dan Bahagian Kewangan di Jabatan Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan semalam.

 

Tambahnya lagi, Jakim bukanlah sebuah institusi picisan yang sekadar membawa peranan agama semata-mata, namun Jakim juga mendekati golongan masyarakat di semua peringkat komuniti.

 

“Jakim juga menghasilkan penerbitan berkualiti untuk setiap kelompok sasaran dan merangka undang-undang yang menjadi model bagi digunapakai oleh pihak negeri dan juga persekutuan.

 

“Kecemerlangan pengurusan kewangan Jakim telah terbukti dengan pengiktirafan yang telah diberikan oleh Jabatan Audit Negara kepada Jakim pada tahun 2011, 2012 dan 2014,” jelasnya. – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.