Amaran Rusia Mengenai Militan Daish Memasuki Thailand

BANGKOK – Polis Thai mengesahkan kewujudan dokumen bocor mengenai maklumat dari Perkhidmatan Keselamatan Rusia yang memberi amaran kepada Majlis Keselamatan Nasional tentang kemungkinan 10 rakyat Syria yang mempunyai hubungan dengan kumpulan militan Daish (IS) memasuki Thailand.

 

Dokumen itu adalah sahih dan pihak berkuasa Thai sedang menyiasat perkara itu, kata timbalan jurucakap polis, Jeneral Polis Songpol Wattanachai.

 

“Saya sahkan bahawa polis Cawangan Khas telah mengeluarkan dokumen itu mengenai maklumat berkenaan dan berkongsi perisikan (dalam kalangan agensi keselamatan),” kata Songpol dalam taklimat kepada media di sini hari ini.

 

“Sama ada mereka (10 warga Syria) benar-benar memasuki (Thailand) atau tidak, kami tidak pasti…namun kami tidak akan leka bila kami mendapat amaran seperti ini, dan pastinya langkah keselamatan dipertingkatkan,” katanya.

 

Beliau berkata Rusia satu-satunya pihak yang menghantar amaran sebegitu kepada Thailand.

 

Sidang akhbar itu dihadiri oleh sekumpulan besar wakil media tempatan dan asing berikutan kebocoran dokumen tersebut yang dikeluarkan pada 27 Nov.

 

Dokumen itu diterbitkan di laman web berita berbahasa Inggeris.

 

Menurut dokumen itu 10 rakyat Syria mengembara ke empat destinasi dalam tempoh 15-31 Oktober – empat ke Pattaya, dua ke Bangkok, dua ke Phuket dan dua lagi ke destinasi tidak diketahui.

 

Kemungkinan sasaran ialah kepentingan Rusia dan tempat-tempat berkaitan dengannya.-Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.