4 Ahli Hizbut Tahrir Ditahan

KUALA LUMPUR  – Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), menahan Empat ahli Hizbut Tahrir selepas kumpulan itu mengadakan sidang media, semalam.

 

Pengarahnya Datuk Haris Kasim berkata, tangkapan itu dibuat kerana kumpulan itu melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12 dan 13 Enakmen Jenayah Syariah Nombor Sembilan Tahun 1999 kerana mempertikai fatwa mufti.

 

“Hizbut Tahrir ini telah diwartakan haram kerana telah bercanggah dengan ajaran Islam dan dia (empat orang) itu membuat sidang media mempertikaikan fatwa berkenaan.

 

“Dia juga mengatakan fatwa itu tak betul dan kita bertindak atas waran geledah serta mereka akan disiasat,” katanya, lapor FMT.

 

Haris berkata, empat orang terbabit dilepaskan dengan jaminan dua orang penjamin dan mereka diminta untuk hadir semula di Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat pada Isnin.

 

Dalam pada itu, Haris turut menafikan bahawa pihaknya turut menangkap wartawan semasa sidang media itu.

 

Pada 25 November lalu, media melaporkan bahawa ajaran Hizbut Tahrir difatwakan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor sebagai ajaran sesat.

 

Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Selangor, Datuk Setia Mohd Tamyes Abd Wahid, berkata orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan dilarang dan diharamkan untuk berpegang kepada fahaman serta ajaran itu.

 

Katanya, Hizbut Tahrir adalah menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam menurut pegangan Ahli Sunnah Wal Jama’ah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.