VIDEO: JPJ Gagal Kesan Pesalah Lalulintas Disebabkan No Plat

Kuala Lumpur – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjelaskan penguatkuasaan terhadap nombor pendaftaran kenderaan yang dilakukan sebelum ini adalah bertujuan untuk memastikan mereka yang sering melanggar peraturan jalan raya dapat dibawa ke muka pengadilan sekaligus mendidik masyarakat agar mengamalkan pemanduan yang berhemah.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata bantahan yang dilakukan oleh segelintir masyarakat sebelum ini adalah disebabkan ada dikalangan mereka yang tidak memahami isu sebenar.

“Sebenarnya penguatkuasaan no plat adalah merupakan satu perkara yang sangat mustahak untuk dilaksanakan, orang ramai mungkin tak faham rasional disebalik penguatkuasaan  ini.

“No plat sebenarnya ada kaitan (secara tidak langsung) dan merupakan punca kepada berlakunya kes kemalangan jalan raya yang sering terjadi sebelum ini” katanya kepada SuaraTV baru-baru ini.

Ismail menjelaskan penguatkuasaan yang dilakukan sebelum ini adalah bertujuan untuk mengesan mereka yang sering melanggar peraturan jalan raya hingga membahayakan nyawa dan keselamatan para pengguna lain.

“Antara tujuh kesalahan utama (punca kemalangan) ialah memandu melebihi had laju, melanggar lampu isyarat, memotong di garisan berkembar, memotong di lorong kecemasan, tidak memakai tali pinggang / topi keledar, menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan memotong garisan.

“Bagi memastikan masyarakat mematuhi undang-undang dan (membolehkan kami) menguatkuasakan tujuh kesalahan utama ini nombor pendaftaraan kenderaan memainkan peranan yang penting” katanya lagi.

Menurut Ismail lagi sebanyak 86,700 kes pesalah jalan raya gagal dikesan disebabkan kamera yang digunakan tidak dapat membaca nombor pendaftaran kenderaan secara tepat.

“Kami menghadapi masalah untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang bersalah, disebabkan masalah no plat.

“Ada yang terlalu kecil, fancy, terlalu rapat, dan yang telah diubahsuai hingga menyebabkan kamera AES dan polis gagal membaca no plat kenderaan tersebut” katanya lagi.

Disebabkan itu juga mereka yang tidak bertanggungjawab dan cuai ini bebas melakukan kesalahan sehingga menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya yang mengorbankan nyawa orang yang tidak bersalah.

Selain JPJ, pihak penguatkuasa yang lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) turut berdepan dengan masalah yang sama apabila gagal mengesan kenderaan yang sering melanggar peraturan yang ditetapkan itu.

Ismail turut menjelaskan pihaknya akan meneruskan penguatkuasaan dan mendidik masyarakat agar kadar kemalangan maut dapat dikurangkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!