Ringgit Ditutup Rendah Berbanding Dolar AS

Kuala Lumpur – Ringgit meneruskan penurunan berbanding dolar AS hari ini sejajar dengan kebanyakan mata wang Asia pesat membangun berikutan pengukuhan dolar AS menjelang laporan senarai gaji bukan ladang Amerika Syarikat dikeluarkan lewat hari ini, kata peniaga.

Pada 5 petang, ringgit disebut pada 3.4695/4725 berbanding 3.4450/4470 semalam.

Peniaga berkata data pekerjaan yang kukuh mencerminkan momentum ekonomi AS yang positif dan mengukuhkan jangkaan kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan, merangsang permintaan terhadap dolar AS dan mengekalkan mata wang Asia di bawah tekanan.

Beliau memberitahu Bernama lebihan dagangan Malaysia lebih rendah daripada dijangkakan bagi Oktober turut mencetuskan jualan besar-besaran ringgit oleh dana luar pesisir dan menambah tekanan ke atas ringgit.

Lebihan dagangan Malaysia bagi bulan tersebut mengecil kepada RM1.19 bilion berbanding RM9.3 bilion pada September dan unjuran sebanyak RM8.9 bilion.

Ringgit turut diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia turun berbanding dolar Singapura kepada 2.6348/6391 daripada 2.6222/6241 dan merosot berbanding yen kepada 2.8848/8882 daripada 2.8730/8749 semalam.

Unit tempatan turut susut berbanding pound British kepada 5.4325/4376 daripada 5.4014/4056 dan jatuh berbanding euro kepada 4.2921/2969 daripada 4.2436/2470 pada Khamis.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.