‘Projek IC’ Sabah: Kerajaan Bertindak Proaktif

Kuala Lumpur – Kerajaan Pusat bersikap progresif dan proaktif dalam usaha menyelesaikan isu dakwaan pengeluaran kad pengenalan kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) atau dilabel ‘Projek IC’ di Sabah, kata penganalisis Politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed.

Beliau menyifatkan demikian berdasarkan langkah menubuhkan Jawatankuasa Tetap Pendatang Asing di negeri berkenaan yang katanya menunjukkan kesungguhan Putrajaya untuk menyelesaikan isu kontroversi itu.

“Saya melihat satu tindakan yang proaktif di mana kerajaan pusat dan kerajaan negeri akan berganding bahu menubuhkan jawatankuasa khas tersebut.

“Sebab sebelum ini, masalah berkaitan PATI diuruskan oleh kerajaan Pusat tanpa memberikan kuasa kepada kerajaan negeri untuk mencari penyelesaian kepada masalah ini,” katanya.

Mengulas mengenai laporan siasatan Suruhanjaya Khas Diraja (RCI) mengenai kemelut Projek IC Sabah itu, yang tidak menyebut nama individu yang terbabit, Dr Ahmad Martadha berkata beliau maklum tentang kesulitan suruhanjaya itu untuk menuduh atau menyebut nama-nama mereka yang terlibat.

“Sukar untuk menamakan individu-individu yang terlibat, dan tiada bukti yang kukuh.

“Pada saya, kerajaan menubuhkan satu suruhanjaya itu sudah menunjukkan kesungguhan untuk isu ini,” katanya lagi.

Seorang lagi ahli akademik, Pemerhati Sosio Politik Seranta, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Madya Dr Baharuddin Aziz pula tidak mengulas secara langsung mengenai laporan hasil siasatan RCI yang diterbitkan kepada umum bermula Rabu itu.

Sebaliknya beliau hanya berpendapat semua pihak perlu mendapat pengajaran daripada laporan berkenaan.

“Kita ambil ini sebagai satu iktibar, dan pentingkan keselamatan Sabah.

“Kita kena lihat apa tindakan selanjutnya untuk menjaga keselamatan Sabah dan kedaulatan negara, pada saya sekarang soal peningkatan keselamatan Malaysia adalah lebih utama,” katanya.

Beliau berharap selepas daripada ini, kerajaan akan mengambil tindakan yang lebih meyakinkan rakyat bagi memastikan “skandal” seumpama itu tidak akan berulang.

“Langkah seterusnya haruslah setimpal dengan tindakan,” tegas beliau.

Pada Rabu, laporan RCI mengenai “Projek IC” kepada PATI di Sabah itu didedahkan kepada umum dalam satu sidang media oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Nashkah laporan setebal 427 halaman itu boleh dibeli oleh orang ramai mulai hari ini.

Ia antara lain merumuskan “Projek IC” kepada PATI di Sabah itu “mungkin wujud”, namun ia tidak membabitkan pihak kerajaan atau mana-mana parti politik.

Sebaliknya pengeluaran kad pengenalan atau kerakyatan kepada migran yang tidak layak di negeri itu lebih didorong oleh faktor imbuhan kewangan dan membabitkan kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) negeri berkenaan.

Susulan daripada itu, kerajaan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Tetap Pendatang Asing yang merangkumkan kerjasama pihak berkuasa Pusat serta agensi kerajaan negeri khusus untuk mengatasi masalah PATI di Sabah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.