Perwakilan UMNO Gagal Bincang Isu Pendidikan, 1MDB Dan TPP – Dr Mahathir

Kuala Lumpur – Tun Dr Mahathir Mohamad terus melancarkan serangan ke atas pimpinan negara dengan mempersoalkan kegagalan Putrajaya dan perwakilan perhimpunan agung Umno baru-baru ini menyentuh kontroversi 1Malaysia Development Bhd (1MDB), perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) dan pelebaran jurang kekayaan.

Walaupun gembira dengan keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengekalkan Akta Hasutan, Dr Mahathir, yang merupakan antara suara lantang membantah 1MDB, berkata kerajaan membisu terhadap kontroversi syarikat pelaburan milik penuh kerajaan itu.

“Yang membuat tandatanya bukan kenaikan harga elektrik kerana pembelian stesyen janakuasa, tetapi kerana harga belian yang amat tinggi, dibayar dengan duit hutang yang bunganya tertinggi yang pernah dikenakan kepada Kerajaan dan komisyen kepada Goldman Sachs sampai 11%,” tulis bekas perdana menteri itu dalam blognya Che Det, hari ini.

“Kenapa pula pelaburan dibuat di Cayman Islands atau wang disimpan di sana?

“Cayman Islands adalah pusat operasi Hedge Fund dan dagangan matawang. Sementara orang atau syarikat biasa gemar melabur dalam Hedge Fund dengan pulangan yang tinggi, Kerajaan biasanya tidak melabur dalam Hedge Fund kerana ia adalah satu jenis judi.”

Beliau turut mengingatkan tentang syarikat dana terbesar, Long Term Credit Management (LTCM) yang pernah rugi besar sehingga mengheret bank dan pelabur ke arah muflis, tetapi diselamatkan Wall Street dan kerajaan Amerika Syarikat.

Dr Mahathir sebelum ini mahu Putrajaya menjelaskan bagaimana 1MDB boleh membantu rakyat Malaysia, terutamanya berikutan pendedahan ia mengumpul hutang sejumlah RM38 bilion dalam tempoh hanya 5 tahun sejak mula beroperasi.

Dalam tulisan blognya hari ini, beliau juga membangkitkan isu perjanjian TPP yang tidak disentuh Najib dan pemimpin Umno lain.

“Tidak ada perubahan terhadap niat untuk menandatangani perjanjian bebas cukai Trans Pacific Partnership Agreement. Perjanjian 29 bab ini merbahaya walaupun pengecualian diberi kepada usaha memperbaiki kedudukan bumiputera. Perjanjian ini lebih tertumpu kepada sekatan terhadap Negara Cina dan campurtangan dalam hal ehwal ekonomi dalaman Negara,” kata Dr Mahathir.

Tambahnya, tanpa TPP, Malaysia berjaya mencatatkan pertumbuhan ekonomi dua angka.

Beliau turut mempersoalkan kegagalan perwakilan Umno membincangkan isu pendidikan.

“Yang kaya pergi ke sekolah Inggeris, mendapat ilmu-ilmu yang penting dan mudah mendapat kerja. Yang miskin ke sekolah Kebangsaan, dengan penguasaan Bahasa Inggeris yang rendah dan ketinggalan dalam bidang sains dan ilmu matematik tinggi. Mereka tidak mudah mendapat kerja dengan upah yang tinggi.

“Dengan ini jarak antara miskin dengan kaya akan menjadi lebih luas,” tulisnya.

 

Berikut adalah pandangan penuh Tun Dr Mahathir:

Mesyuarat Agung UMNO

1. Saya ucap tahniah kepada UMNO dan Presidennya kerana mendengar dan mengambil berat akan pandangan orang ramai berkenaan dengan pengekalan Akta Hasutan.

2. Tetapi saya kecewa kerana banyak lagi rintihan dan keluhan rakyat tidak berjaya mempengaruhi pendirian UMNO dan Kerajaan.

3. Tidak ada perubahan terhadap niat untuk menandatangani perjanjian bebas cukai Trans Pacific Partnership Agreement. Perjanjian 29 bab ini merbahaya walaupun pengecualian diberi kepada usaha memperbaiki kedudukan bumiputera. Perjanjian ini lebih tertumpu kepada sekatan terhadap Negara Cina dan campurtangan dalam hal ehwal ekonomi dalaman Negara.

4. Tidak juga ada respon berkenaan dengan tuduhan terhadap 1MDB. Yang membuat tandatanya bukan kenaikan harga elektrik kerana pembelian stesyen janakuasa, tetapi kerana harga belian yang amat tinggi, dibayar dengan duit hutang yang bunganya tertinggi yang pernah dikenakan kepada Kerajaan dan komisyen kepada Goldman Sachs sampai 11%.

5. Kenapa pula pelaburan dibuat di Cayman Islands atau wang disimpan di sana?

6. Cayman Islands adalah pusat operasi Hedge Fund dan dagangan matawang. Sementara orang atau syarikat biasa gemar melabur dalam Hedge Fund dengan pulangan yang tinggi, Kerajaan biasanya tidak melabur dalam Hedge Fund kerana ia adalah satu jenis judi.

7. Dahulu pun Kerajaan Malaysia biasa dilamar untuk melabur dalam Hedge Fund dengan garanti pulangan 30%. Tetapi ia ditolak.

8. Harus diingat satu dari Hedge Fund yang terbesar, LTCM (Long Term Credit Management) rugi besar dan mengheret bank dan pelabur ke arah muflis. Ia diselamat oleh pelabur yang terdiri dari Wall Street dan Kerajaan U.S.

9. Berjudi bukan cara Kerajaan mencari dana, samada secara langsung atau tidak langsung.

10. Yang lain yang tidak disentuh yang menjadi keluhan rakyat ialah sistem pelajaran yang memisahkan miskin dengan kaya. Yang kaya pergi ke sekolah Inggeris, mendapat ilmu-ilmu yang penting dan mudah mendapat kerja. Yang miskin ke sekolah Kebangsaan, dengan penguasaan Bahasa Inggeris yang rendah dan ketinggalan dalam bidang sains dan ilmu matematik tinggi. Mereka tidak mudah mendapat kerja dengan upah yang tinggi.

11. Dengan ini jarak antara miskin dengan kaya akan menjadi lebih luas.

12. Benar mempermudahkan kelulusan peperiksaan popular, disukai ramai. Tetapi yang disukai ramai kerapkali tidak baik bagi mereka. Pepatah Melayu berkata “menang sorak, kampong tergadai”.

13. Amat malanglah jika populariti lebih diutamakan dari nasib buruk anak rakyat yang terpaksa terima dasar yang tidak baik bagi mereka. Mereka menjadi mangsa, tidak anak orang kaya.

14. Dan banyaklah lagi yang tidak dibincang dan disebut dalam mesyuarat Agung UMNO

15. Dalam demokrasi kesukaan ramai memang penting tetapi janganlah kerananya tergadai masa depan anak bangsa.

One thought on “Perwakilan UMNO Gagal Bincang Isu Pendidikan, 1MDB Dan TPP – Dr Mahathir

  • December 6, 2014 at 7:22 am
    Permalink

    these present group of leaders terdiri dr rape victims n d rapers itself .. rakyat yg terpaksa menanggung …back 2 reality lh if these kind of leaders lead.. wht will happen 2 d nxt generation DrM dh hint dlm ucapan terakhir sblm mlepaskn kerusi unt d duduki olh d present leaders.. Hancurnya ketamaddunan sesuatu bangsa n negara.. melayu mudah lupa.. mny more tmasuk not 2 overstay yr WELCOME.. knnn..ini lh pkara yg perlu d kaji sblm proceed.. jng buat2 LUPA

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.