Peningkatan Dalam Indeks Persepsi Rasuah Malaysia

Kuala Lumpur – Malaysia berjaya menunjukkkan peningkatan apabila berada pada kedudukan ke-50 daripada 177 negara di seluruh dunia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang dikeluarkan baru-baru ini.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Satar berkata pada tahun lalu Malaysia menduduki tangga ke-53 dan di dalam kalangan negara ASEAN, Malaysia berada di tempat kedua di belakang Singapura.

Menurut tinjauan tahunan Transparency International, Malaysia mendapat skor 52/100 mata tahun ini dan berjaya menduduki tangga lebih baik daripada beberapa negara maju termasuk Itali, Greece dan Republik Czech.

“Malaysia terus berada dalam purata tahap pertengahan, menandakan walaupun banyak langkah telah dilaksanakan di bawah inisiatif Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), tahap rasuah masih belum berkurangan secara signifikan,” katanya ketika taklimat media TI-M di sini.

Pengiraan Indeks tersebut berdasarkan tinjauan dan penilaian rasuah yang diambil dari pelbagai institusi bereputasi bagi menilai tahap persepsi rasuah dalam sektor awam.

Menurut Akhbar, terdapat kemungkinan kaji selidik yang dibuat pada tahun 2011 dan 2012 merekodkan maklum balas positif terhadap usaha kerajaan memerangi rasuah seperti memperkenalkan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Jelasnya, Malaysia berada dikedudukan 54 daripada 176 negara dengan mendapat 49 markah dalam laporan pada tahun 2012 yang mengukur persepsi rasuah pada 2010 apabila Akta SPRM itu mula dikuatkuasakan.

“Itulah sebabnya jika anda lihat ranking dan skor kita, ia makin meningkat sejak tempoh itu.

“Saya ingin memuji SPRM dan PEMANDU (Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan) atas usaha mereka memerangi rasuah.

“Tetapi banyak yang perlu dilakukan jika kita mahu mencapai dalam lingkungan ranking 30,” tegasnya.

Bagi menangani keadaan itu, kata Akhbar pihak telah menggariskan beberapa saranan untuk dipertimbangkan oleh kerajaan, sebagai usaha kritikal bagi membanteras rasuah.

“Langkah-langkah dan amalan lebih mantap perlu dikuatkuasakan dan perlu dilaksanakan untuk menghapuskan kepentingan yang telah berakar umbi dan proses yang menyokong penyalahgunaan,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.