Pantau Penularan Ajaran Sesat – Sultan Selangor

Kuala Selangor – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan pegawai dan ahli jawatankuasa masjid serta seluruh umat Islam negeri ini agar sentiasa berwaspada dengan cubaan pihak tertentu yang mengembangkan ajaran sesat bertentangan dengan fatwa Mufti Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Menurut baginda, ketidakpekaan serta sikap ambil ringan pihak berkuasa agama dikhuatiri akan menyebabkan ajaran sesat terus menular sehingga menyebabkan akhirnya ia sukar dibendung.

Baginda dalam pada itu juga turut mengingatkan agar rakyat negeri ini untuk turut sama bekerjasama memberikan maklumat dan mengemukakan aduan kepada JAIS dalam usaha membendung kegiatan penyelewengan agama Islam.

“Perkembangan ajaran sesat boleh mengelirukan serta memesongkan akidah umat Islam di negeri ini.

“Akibatnya umat Islam akan berpecah-belah, hidup dalam suasana persengketaan dan tidak dihormati oleh masyarakat yang lain,” titah baginda di majlis perasmian Masjid Ar-Ridhuan, di sini, sebentar tadi.

Turut hadir Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Khusrin Munawi serta Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar.

Perkembangan terbaru berhubung ajaran sesat kembali diperkatakan apabila media baru-baru ini melaporkan kegiatan ajaran sesat yang dikenali sebagai ‘Mila Abraham’ dikesan di Cheras awal Oktober lalu.

Ajaran tersebut telah difatwakan sebagai sesat oleh Mufti Selangor pada 2009, dan turut diharamkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan pada 2011.

Mila Abraham atau Abrahamic Faith adalah bentuk fahaman yang menyamakan ajaran Islam dengan Yahudi dan Nasrani.

Dalam rekod Majlis Agama Islam Selangor (Mais), sebanyak 27 ajaran sesat telah dikesan di seluruh negeri sehingga 2012, dengan sebilangan besarnya dilaporkan masih aktif.

Justeru, baginda bertitah agar JAIS menguatkuasakan peraturan dan garis panduan yang ditetapkan bagi membanteras kegiatan ajaran sesat, termasuk mengawasi aktiviti yang dilakukan di masjid atau surau, serta memantau agar penceramah dan tenaga pengajar mempunyai tauliah yang diiktiraf MAIS.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.