Naib Presiden AS Bimbang Akta Hasutan Malaysia Dikekalkan

Kuala Lumpur – Naib Presiden Amerika Syarikat, Joseph Biden mengkritik langkah kerajaan Malaysia mengekalkan Akta Hasutan 1948 yang dikatakannya bertujuan untuk menyekat pembangkang.

Beliau bagaimanapun menyifatkan keputusan rayuan pertuduhan liwat ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim nanti adalah peluang utama untuk Malaysia “membetulkan keadaan serta menonjolkan keyakinan terhadap demokrasi dan kehakiman”.

Beliau membuat kenyataan itu melalui dua masukan di akaun Twitternya.

Dua masukan itu diakhiri dengan “vp” menandakan ia ditulis sendiri oleh Biden dan bukan oleh pegawainya.

Kenyataan Biden ini mengimbau semula episod kritikan bekas Naib Presiden, Al Gore terhadap kerajaan Malaysia pada 1998 serta kenyataan beliau yang menyifatkan rakyat yang menentang pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika itu sebagai “orang berani”.

Dalam ucapannya pada forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Kuala Lumpur — dua bulan selepas Anwar dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana, Al Gore menyebut bagaimana negara yang demokrasi lebih mampu mengharungi krisis ekonomi berbanding negara yang kebebasannya disekat.

Beliau kemudian memuji gerakan rakyat di serata Asia Tenggara dengan slogan perubahan termasuk “reformasi” yang ketika itu menjadi laungan Anwar dan penyokongnya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lalu mengumumkan kerajaan tidak akan memansuhkan Akta Hasutan sebaliknya akan diperkukuhkan dengan dua peruntukan khas mengenai perlindungan kepada agama serta kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Malaysia.

Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria memberitahu Bernama pada Khamis bahawa pihaknya belum dapat memberikan tarikh tepat bila keputusan rayuan akhir Anwar itu akan diumumkan kerana panel hakim Mahkamah Persekutuan sedang menyiapkan penghakimannya.

Anwar merayu untuk mengetepikan hukuman penjara lima tahun atas sabitan meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan. Anwar merayu kepada Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskannya. – Astro Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.