Menteri Penerangan Islam Bangkitkan Peranan Media Bentuk Pendapat Umum Dunia

Daripada: Nor Faridah Abd Rashid

Tehran – Sesi ke-10 Persidangan Menteri-menteri Penerangan Islam (ICIM) bersetuju media memainkan peranan penting dan utama, serta merupakan alat berkesan dalam membentuk pendapat umum masyarakat tempatan, serantau dan antarabangsa.

Dalam kenyataan akhir, yang dinamakan ‘Deklarasi Tehran’ dan diterima pakai selepas mesyuarat dua hari yang berakhir Khamis, ICIM menekankan kepentingan pertumpuan media untuk menggalakkan keamanan dan keharmonian dalam dunia Islam.

Menteri Penerangan dari 57 negara yang menganggotai Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) berkata media boleh memainkan peranan untuk mematahkan segala bentuk keganasan, ekstremisme dan rasisme.

Mereka berkata ancaman yang semakin meningkat adalah angkara kempen musuh terhadap Islam dan umat Islam, yang dipergiat oleh media antarabangsa di Barat bagi menyebarluaskan Islamophobia bertujuan mencemarkan imej Islam yang sebenar, yang menekankan prinsip kesederhanaan dan toleransi.

Mereka melahirkan kebimbangan berhubung tindakan keganasan yang dilakukan di bawah nama Islam dan percaya masanya sudah tiba untuk menggunakan kuasa dan pengaruh media untuk melawan tindakan dan pemikiran berbahaya yang tidak mempunyai kaitan dengan ajaran dan prinsip Islam.

Mereka mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keganasan yang dilakukan oleh kumpulan militan yang digelar Islamic State (IS) dan penyalahgunaan media baharu untuk mencapai matlamat ganas mereka.

Kesemua menteri menyokong aktiviti media OIC untuk menentang percubaan untuk mencemarkan tapak suci dan simbol Islam, menyebarkan kebencian dan diskriminasi terhadap Islam dan Muslim serta mengaitkan Islam dengan keganasan.

Mereka juga mengesahkan semula prinsip Islam bagi mengukuhkan semula tindakan bersama dalam kalangan negara-negara anggota, terutama dalam bidang media, dan sokongan berterusan terhadap Palestin dan Al-Quds.

Menteri-menteri Penerangan memperbaharui komitmen mereka selaras dengan objektif OIC dan menyokong inisiatif dan aktiviti OIC, terutama dalam media dan teknologi maklumat bagi menggalakkan perpaduan, solidariti serta kerjasama antara negara anggota.

Mereka menekankan keperluan untuk mengukuhkan lagi tamadun umat Islam, yang dibina berdasarkan nilai-nilai dialog dan sama-sama mewujudkan persekitaran yang adil, selamat dan stabil. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.