Langgar Lari: 2 Sepupu Maut Ketika Melintas Ke Surau

Alor Setar – Dua kanak-kanak bersaudara maut dalam satu kemalangan jalan raya setelah dirempuh sebuah kenderaan sewaktu melintas jalan untuk ke surau.

Mangsa Abdul Ghaffar Ibrahim, 9, dan sepupunya Azraie Mohamad Shariff, 8, baru sahaja keluar dari rumah mereka yang terletak kira-kira 150 meter dari tempat kejadian pada jam 8.30 malam untuk menunaikan solat Isya di surau berdekatan di Jalan Datuk Kumbar, di sini.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, secara tiba-tiba muncul sebuah kenderaan dipandu laju dari arah Pendang menuju ke Alor Setar lalu merempuh kedua-dua mangsa sehingga terpelanting kira-kira 10 meter ke bahu jalan.

Bagaimanapun, pemandu kenderaan berkenaan bertindak melarikan diri dengan memecut laju meninggalkan lokasi kejadian.

Kedua-dua mangsa, yang juga pelajar Sekolah Rendah di Kuala Nerang, maut di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan selain patah di beberapa bahagian tubuh.

Orang awam yang menyedari kejadian itu bertindak menghubungi polis sebelum mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar dengan sebuah ambulans.

Mayat kedua-dua mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik HSB untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan mengesahkan laporan.

Polis telah menahan pemandu kenderaan terbabit setelah wanita itu tampil membuat laporan sejurus kejadian di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar.

Kes disiasat mengukut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.