Kereta Kedutaan Turki Diguna Untuk Menyamun

Ipoh – Sebuah kereta jenis Toyota Camry milik Kedutaan Turki di Kuala Lumpur yang dilarikan dari sebuah stesen minyak di Wangsa Maju rupa-rupanya digunakan oleh dua lelaki untuk menyamun dengan menyamar sebagai anggota polis di Ipoh.

Dua suspek terbabit sudah menyamun tujuh kali, termasuk dua kali dengan menyamar sebagai anggota polis di sekitar kawasan Menglembu di bandaraya itu sejak awal pagi Khamis, sebelum berjaya dikesan oleh anggota polis kira-kira jam 12 tengahari selepas menerima maklumat.

Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Sum Chang Keong, sebaik menyedari kehadiran polis, suspek memecut kereta itu untuk meloloskan diri lalu dikejar anggota unit kereta peronda polis (MPV) hinggga ke Simpang Pulai.

Ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat Simpang Pulai, kedua-dua suspek berusia lingkungan 20-an itu bertindak ganas melanggar kereta peronda polis.

“Sebanyak lapan buah MPV mengejar kenderaan suspek.

“Semasa berhenti di lampu isyarat di Simpang Pulai, kenderaan suspek cuba melanggar kenderaan polis selain turut melanggar dua buah kenderaan awam,” kata Sum kepada pemberita pada petang Khamis.

Tindakan mereka memaksa anggota polis melepaskan tiga das tembakan amaran, namun dua lelaki terbabit sekali lagi memecut kereta yang mereka naiki.

Polis terus mengejar hingga ke Kampung Kurnia sebelum kereta suspek terbabas dan melanggar sebuah gelanggang sukan serbaguna di kampung tersebut, katanya.

“Kedua-dua suspek cuba melarikan diri di ladang kelapa sawit berhampiran kampung itu namun gagal selepas ditahan polis.

“Hasil siasatan mendapati kereta yang digunakan suspek milik kedutaan Turki yang dilaporkan hilang di sebuah stesen minyak di Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada 20 Okt lepas,” jelas beliau.

Akibat terlanggar dinding konkrit gelanggang sukan serbaguna itu, bahagian hadapan kereta itu remuk, setelah membuat pemeriksaan polis menemui dua bilah parang di dalamnya.

Pada 25 Oktober lalu, sebuah portal berita melaporkan mengenai kereta itu yang dilarikan seorang lelaki ketika pemandunya yang merupakan seorang pegawai kanan kedutaan Turki berhenti dan masuk ke dalam kedai serbaneka stesen minyak berkenaan untuk membeli minuman.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.