Kekal Akta Hasutan: Khairy Bidas Kenyataan Naib Presiden US, Joe Biden

Shah Alam – Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin hari ini membidas tweet Naib Presiden Amerika Syarikat Joe Biden yang menyoal tindakan negara mengekalkan Akta Hasutan yang pada pendapatnya mengekang kebebasan bersuara dan perbezaan pendapat.

Membalas Biden melalui tweet juga, Menteri Belia dan Sukan itu berkata, “menutup Guantanamo memberi Amerika Syarikat peluang penting untuk memperbaiki keadaan dan memupuk keyakinan terhadap institusi demokrasi dan perundangannya.”

Terdahulu, Amerika Syarikat melalui dua tweet daripada Biden menyuarakan kekhuatiran dengan langkah Malaysia mengekalkan akta zaman penjajah, malah perkukuhkannya lagi.

“Melihat hubungan makin kuat antara AS-Malaysia, langkah kerajaan Malaysia menggunakan system undang-undang dan Akta Hasutan untuk menyekat pembangkang menimbulkan kebimbangan terhadap kedaulatan undang-undang,” kata Biden dalam tweet dipetik media.

Naib Presiden itu juga berkata, walaupun banyak pihak mengecam Perdana Menteri Najib Razak kerana gagal mengotakan janjinya untuk memansuhkan akta berkenaan, Putrajaya masih berpeluang untuk menebus diri melalui rayuan sodomi Anwar Ibrahim yang kini menunggu penghakiman.

Rayuan Anwar Ibrahim memberi Malaysia peluang untuk membetulkan keadaan dan memupuk keyakinan terhadap demokrasi dan badan kehakimannya,” katanya dalam satu lagi tweet dipetik oleh media.

Untuk rekod, sejak November 2014 sebanyak 142 orang masih ditahan tanpa perbicaraan di Guantanamo Bay, Cuba.

Amnesty International menganggap tempat tahanan itu sebagai “skandal hak kemanusiaan” dalam satu laporannya dan juga melabelnya “Gulag zaman kini”, perbandingan dengan kem buruh paksa era Soviet.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.