Isu Pondan: Negeri Sembilan Rayu Keputusan Mahkamah Rayuan

Purtajaya – Kerajaan Negeri Sembilan akan memfailkan rayuan, bagi membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan berhubung Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 yang disifatkan tidak selaras Perlembagaan di Mahkamah Persekutuan, esok.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau berpuas hati dengan hujah-hujah yang dikemukakan penasihat undang-undang negeri untuk membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan.

“Terdapat banyak hujah untuk kita buat rayuan dan batalkan keputusan Mahkamah Rayuan di Mahkamah Persekutuan nanti.

“Apa yang penting sekali ialah keputusan Mahkamah Rayuan telah pun membatalkan Seksyen 66 kita.

“Kita tidak begitu marah dan kecewa, jika melepaskan tiga individu itu, tetapi pada masa sama, pembatalan Seksyen 66 itu merupakan sesuatu yang amat berbahaya.

“Jika terlepas pandang, ia akan membuka pintu seluas-luasnya kepada mereka yang memang mahu melihat ajaran atau fahaman pluralisme, liberalisme dan lain-lain membiak di negara ini,” katanya ketika menutup Konvensyen Akidah Antarabangsa 2014, hari ini.

Mahkamah Rayuan pada 7 November lalu membenarkan rayuan tiga jurumekap pengantin, Muhamad Juzaili Mohamad Khamis, 26; Syukor Jani, 28; dan Wan Fairol Wan Ismail, 30, untuk mengisytiharkan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992, bercanggah Perlembagaan Persekutuan.

Seksyen berkenaan adalah peruntukan mengenai lelaki berlagak seperti perempuan yang menyatakan mana-mana lelaki yang berpakaian perempuan atau berlagak seperti perempuan di tempat awam, melakukan satu kesalahan dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan semakan kehakiman yang difailkan ketiga-tiga lelaki transgender Islam itu.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus memutuskan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 itu, bercanggah Artikel 5, 8, 9 dan 10 Perlembagaan Persekutuan, kerana mendiskriminasikan lelaki Islam yang menghadapi keadaan dikenali sebagai masalah identiti jantina dari segi perubatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.