Hormati Titah Sultan, Noh Cabar Azmin Pecat Anwar Sebagai Penasihat Ekonomi Selangor

Kuala Selangor – Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali dicabar untuk memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Ekonomi Selangor bagi membuktikan beliau menghormati titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, Azmin harus memahami makna tersirat yang cuba disampaikan baginda Sultan bahawa khidmat Ketua Pembangkang itu sudah tidak diperlukan di negeri ini.

“Oleh itu menteri besar sepatutnya menghormati keputusan dan tindakan yang diambil Sultan Selangor.. Maka sepatutnya menteri besar hendaklah memecat Anwar Ibrahim sebagai penasihat ekonomi Selangor.

“Apa guna menteri besar masih nak kekalkan Anwar Ibrahim sebagai penasihat ekonomi negeri Selangor. Kalau menteri besar benar-benar menghormati dan memahami tindakan Sultan Selangor maka beliau hendaklah pecat Anwar Ibrahim kerana khidmatnya tak diperlukan lagi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Masjid Ar-Ridhuan, di sini sebentar tadi.

Gesaan itu disuarakan berikutan keputusan Sultan semalam yang menarik balik Darjah Kebesaran Seri-Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang dikurniakan kepada Ketua Umum PKR itu sejak 1992, berkuatkuasa pada 3 November lalu.

Dalam satu kenyataan istana, keputusan untuk membatalkan gelaran Anwar dilakukan kerana pemimpin itu sering mempersoalkan integriti Sultan dan institusi Raja dalam krisis menteri besar baru-baru ini.

Sementara itu, Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dalam kenyataannya berkata tindakan dan tingkah laku penasihat PKR itu menunjukkan dirinya tidak lagi layak memegang apa-apa anugerah.

Mengulas lanjut, Noh dalam pada itu menyatakan sokongan penuh terhadap tindakan Sultan yang padanya menyampaikan mesej dengan begitu jelas bahawa baginda amat ‘murka’ dengan Anwar yang mencetuskan krisis di negeri naungannya

“Ini menunjukkan bahawa baginda begitu tegas untuk menjaga kesucian aga Islam dan mempertahankan prinsip raja berperlembagaan. Dengan tindakan demikian, yang tersiratnya bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim ini tidak lagi diperlukan di Selangor,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.