Bekalan RON97 Dijangka Pulih Dan Stabil Minggu Depan

Kuala Lumpur – Bekalan petrol RON97 yang terjejas di seluruh negara, susulan permintaan yang meningkat secara drastik, dijangka kembali pulih dan stabil minggu depan.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek, bekalan RON97 itu dikatakan terjejas disebabkan mengalami sedikit kejutan, ekoran kejatuhan harga minyak mentah dunia baru-baru ini yang menyaksikan harga runcit RON95 turut turun, namun ia hanya bersifat sementara.

“Banyak stesen minyak mengalami kekurangan, kerana pengguna beralih daripada penggunaan RON95 kepada RON97 yang menyebabkan sedikit gangguan dari segi bekalan.

“Tidak timbul isu sorok atau niat mengaut keuntungan lebih dalam kalangan syarikat penjual minyak, kerana secara teknikalnya, gangguan itu menyebabkan kehabisan stok,” katanya mengulas dakwaan mungkin ada aktiviti menyorok bekalan RON97 di pasaran yang menyebabkan kekurangan bekalan petrol jenis itu di seluruh negara.

Hasan ditemui selepas merasmikan cawangan baru Bank Rakyat, pada Jumaat.

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengulangi jaminan kerajaan akan mengambil langkah bagi meringankan beban rakyat, sekiranya harga minyak dunia meningkat secara mendadak.

Beliau berkata, menerusi langkah pengapungan terkawal harga minyak yang dilaksanakan kerajaan kini, sistem itu lebih memberi manfaat kepada rakyat, kerana harga minyak di negara ini akan turun mengikut harga pasaran minyak dunia.

“Langkah apungan terkawal harga minyak diambil kerajaan, kerana harga minyak mentah dunia telah menurun ke paras di mana subsidi tidak diperlukan,” kata Najib dalam siaran radio di laman blog beliau www.najibrazak.com hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, mekanisme apungan terkawal ini akan membawa penjimatan besar kepada kerajaan, dan penjimatan itu bakal disalurkan semula kepada rakyat.

Pada 21 November lalu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan penetapan harga runcit bagi petrol RON95 dan diesel mengikut kaedah pengapungan terkawal, berkuat kuasa Isnin lalu.

Mulai tarikh itu, tiada lagi subsidi diberikan bagi kedua-dua bahan api itu, kerana harga pasaran dunia lebih rendah berbanding harga di pam.

Isnin lalu, harga runcit RON97 turun sembilan sen seliter kepada RM2.46 seliter, manakala RON95 pula turun empat sen seliter kepada RM2.26 seliter.

Bagaimanapun, harga runcit diesel naik tiga sen kepada RM2.23 seliter.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.