15 Warga Myanmar Ditahan Bantu Siasatan Kes Bunuh Rakan

Georgetown – Polis menahan 15 warga Myanmar bagi membantu siasatan berhubung beberapa kes pembunuhan rakan senegara mereka, termasuk kes penemuan cebisan anggota badan manusia di Bukit Mertajam dan Nibong Tebal, minggu lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, semua suspek berumur antara 20 hingga 40 tahun ditahan sejak dua minggu lalu di beberapa lokasi sekitar Pulau Pinang dan Rawang, Selangor.

Abdul Rahim berkata, semalam, seorang lelaki berusia lingkungan 40-an ditahan di Rawang dan kini dia bersama 14 yang lain direman bagi membantu siasatan.

Polis percaya pembunuhan membabitkan warganegara Myanmar itu bermotifkan dendam yang berpunca dari kejadian yang telah berlaku di negara asal mereka.

“Saya boleh sebutkan ia dendam dari negara asal yang dibawa ke sini. Kita tahu sebab MO (modus operandi) dia tidak menggunakan senjata api, dia menggunakan parang untuk mencincang. Kita tengok daripada MO pun kita sudah tahu, ia ‘murder case’ (kes bunuh) dan melibatkan negara yang mana,” Abdul Rahim memberitahu wartawan pada majlis perasmian program Kempen Menangani Keganasan Ke Atas Wanta anjuran Amanita Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di Kampung Sungai Gelugor Pulau Pinang pada Khamis.

Sebanyak 18 kes pembunuhan membabitkan warga asing telah dilaporkan di negeri itu sejak awal tahun ini dan kebanyakannya membabitkan warga Myanmar.

Abdul Rahim berkata, polis berharap dengan penahanan suspek tersebut, kegiatan pembunuhan membabitkan warga asing di negeri itu dapat dibendung.

Beliau mengesahkan cebisan anggota badan yang ditemui di Nibong Tebal dan Bukit Mertajam minggu lalu adalah milik warga Myanmar, tetapi identitinya masih belum dikenal pasti.

Dalam pada itu, Abdul Rahim meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan agar menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Pada 24 November lalu, satu bungkusan berisi kepala manusia ditemui di tiang berhampiran sebuah kedai makan di Taman Impian Ria, Bukit Mertajam dan pada Khamis pula, mayat tanpa kepala dan tangan yang disumbat dalam guni ditemui penduduk kampung dalam tali air di Sungai Bakap.

Terbaru pada Isnin lalu, kepala dan tangan kiri dari lengan hingga tapak tangan ditemui dalam beg plastik berhampiran tong sampah di Machang Bubok.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.