Tujuh jam terperangkap banjir

HULU TERENGGANU – Enam penuntut Kolej Islam Sains dan Teknologi(Kist) tinggal di rumah sewa Kist di sini, melalui detik mencemaskan akibat terperangkap hampir tujuh jam setelah kediaman mereka dinaiki air lebih satu meter kira-kira jam 3 pagi semalam.

Bagaimanapun, debaran mereka berakhir apabila dibawa keluar anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (Jpam) Daerah Hulu Terengganu dalam satu operasi menyelamat kira-kira jam 10 pagi semalam, selain turut melibatkan puluhan rumah penduduk kampung berkenaan.

Penuntut Diploma Teknologi Makmal Perubatan, Nur Shafika Mohd Hussin,20, berkata, dia dan rakannya tidak dapat tidur lena kerana khuatir rumah sewa mereka dinaiki air dan ternyata apa yang mereka bimbangkan, menjadi kenyataan.

“Rumah ini dihuni 12 orang tetapi enam daripadanya pulang ke rumah kerana cuti semester. Kira-kira jam 12.30 malam tadi (semalam), orang kampung datang mengetuk pintu bertanyakan rumah ada orang atau tidak.

“Setengah jam kemudian warden hubungi minta kami mengemas barang. Saya dan rakan serumah meninjau keluar tetapi tak dapat lihat apa-apa kerana gelap, sebaliknya hanya mendengar bunyi arus air.

“Bagaimanapun kira-kira jam 3 pagi, air dipercayai naik mendadak sehingga sampai ke anak tangga rumah. Dalam jam  6 pagi, hampir keseluruhan anak tangga ditenggelami air dan ketika itu saya semakin takut melihat paras air semakin tinggi.

“Kami melambai ke arah bot orang kampung tetapi mungkin kerana hujan mereka tidak perasan. Saya tidak berani meredah air kerana berlaku apa-apa, sebaliknya menunggu bantuan tiba dan syukurlah pihak berkuasa datang membantu,” katanya.

Tambah Nur Shafika yang berasal dari Air Keruh, Melaka ini, kejadian itu meninggalkan kenangan tersendiri baginya kerana kali pertama melalui detik mencemaskan itu apatah lagi rumah kawasan rumah dihuninya itu bagaikan bertukar menjadi lautan.

Fatimah Safiera Mohd Azmi, 18, dari Paka, tidak dapat tidur lena malam semalam kerana bimbang tetapi cuba bertenang kerana percaya bantuan akan tiba untuk menyelamatkan dia dan rakan-rakannya.

Sementara itu, Pegawai JPAM Daerah, Hishamudin Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat melalui panggilan telefon sekitar jam 8 pagi dan operasi menyelamat serta memindahkan mangsa melibatkan 30 anggota.

Jalan utama tenggelam

BANJIR di daerah Hulu Terengganu juga semakin teruk sehingga menyebabkan jalan utama Bandar Kuala Berang-Kuala Terengganu turut ditenggelami air di beberapa lokasi, sekali gus memaksa pengguna melalui jalan raya melalui laluan Wakaf Tapai-Tanggol.

Tinjauan semalam mendapati, antara lokasi ditenggelami air ialah di kawasan persimpangan Paya Besar, malah orang ramai terpaksa diangkut menggunakan jentolak Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Hulu Terengganu untuk berulang-alik.

Penduduk, Mohd Abdillah Ismail, 45, dari Kuala Berang berkata, air di kawasan itu mulai naik sejak jam 4 pagi semalam ekoran limpahan sungai utama iaitu Sungai Berang serta beberapa batang anak sungai lain sekali gus sebabkan banjir di Kampung Bukit Tokbat dan Paya Besar.

“Banjir melibatkan jalan raya ditenggelami air ini bukan saban tahun berlaku dan biasanya terjadi apabila banjir besar sahaja. Tahun lepas, situasi sama dihadapi tetapi bukan sewaktu banjir gelombang pertama namun kali ini sebaliknya.

“Selain rumah penduduk, banjir di kawasan ini akan turut melibatkan pejabat pertanian daerah serta beberapa buah sekolah terutamanya Sekolah ebangsaan Tengku Ampuan Intan. Tahun lalu, murid diarahkan pulang dari sekolah kerana dinaiki air.

“Kali ini, banjir gelombang pertama sahaja kawasan ini sudah dinaiki air dan situasi ini di luar jangkaan. Penduduk yang ingin ke Ajil terpaksa melalui jalan Tanggol- Wakaf Tapai walaupun begitu jauh, sedangkan jarak Kuala Berang-Ajil hanya 10 kilometer.

Calon STPM tidak terjejas

SEMENTARA itu, kesemua 27 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2013 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Indera yang akan menduduki kertas akhir iaitu Sains Sukan hari ini dijamin tidak mengalami sebarang masalah untuk ke sekolah.

Pegawai Pelajaran Daerah Hulu Terengganu, Shafruddin Ali Hussin berkata, ini kerana pihaknya telah meminta pihak sekolah menyuruh pelajar tinggal di sekolah selain laluan calon untuk ke pusat peperiksaan juga tidak terputus.

“Esok (hari ini) hanya ada dua sekolah lagi yang masih ada peperiksaan STPM iaitu SMK Landas (15 calon) serta SMK Tun Indera. SMK Landas tiada sebarang masalah tetapi beberapa buah kampung berhampiran SMK Tun Indera ada yang dinaiki air akibat banjir.

“Bagaimanapun, hanya laluan utama Kuala Berang-Sekayu dinaiki air dan ia tidak jejaskan perjalanan calon untuk ke pusat peperiksaan kerana majoriti pelajar hanya tinggal di kawasan itu. Walaupun begitu kita telah maklumkan kepada pihak sekolah supaya pelajar tinggal di sekolah,” katanya

“Banjir kali ini turut melibatkan enam buah sekolah di daerah ini iaitu SMK Tengku Ampuan Intan, SM Imtiaz Kuala Berang, SM Agama Mahmudiah, SK Tengku Ampuan Intan, SK Lubuk Periuk serta SK Bukit Tadok.

“Pihak sekolah diharapkan dapat berikan kerjasama kepada orang kampung atau anggota keselamatan untuk memindahkan peralatan sekolah. Persiapan awal dilakukan pihak sekolah ternyata memudahkan situasi ini,” katanya. – Sinar harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.