Polis Kumpul Bukti Kes Kematian Tiga Beradik, Kata KPN

GEORGE TOWN, 5 Dis (Bernama) — Polis sedang menjalankan siasatan terperinci termasuk mencari petunjuk baharu kes kematian tiga beradik di Alor Semela, Jalan Datuk Kumbar, Alor Setar, Ahad lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihak polis memerlukan sedikit masa untuk mengumpul bukti dan yakin kes itu akan dapat diselesaikan.

“Berilah kami masa, InsyaAllah saya percaya kes ini akan dapat diselesaikan,” katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai perkembangan siasatan kes kematian tiga beradik itu, selepas menghadiri majlis sambutan Deepavali anjuran Kontinjen Polis Pulau Pinang di Pangkalan Polis Marin, di George Town, Khamis.

Dalam kejadian 1 Dis lepas, mayat Nor Syafikah Nadia Rusdi, 14, ditemui tertiarap dalam keadaan separuh bogel di tepi sawah Alor Senibong pukul 3.45 petang selepas keluar dari rumah bersama dua adiknya, Puteri Nurul Akma, tiga tahun, dan Nur Izzati Husna, 12, kira-kira pukul 7.30 malam Jumaat lalu.

Mayat Puteri Nurul Akma dan Nur Izzati Husna ditemui kira-kira pukul 4.50 petang keesokannya di dalam terusan MADA Kampung Padang Petani, Langgar, kira-kira 3.5 kilometer dari mayat Nor Syafikah Nadia dijumpai.

Sementara itu, Ketua Polis Negara berkata pihak polis akan mengemas kini kertas siasatan kes Mohd Fahmi Alias, 20, yang didakwa terbabit merogol Nor Fazira Saad, 13, sebelum menikahi remaja itu tahun lalu.

“Kertas siasatan itu sudah ada dan akan dikemas kini sebelum dihantar kepada pihak Peguam Negara…saya percaya pihak Peguam Negara akan buat pertimbangan yang sebaik-baiknya untuk kepentingan semua pihak,” katanya.

Pada 2 Dis lepas, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mengarahkan polis membuka semula kertas siasatan kes dakwaan rogol itu sebelum membuat keputusan sama ada akan melakukan pendakwaan atau sebaliknya.

Nor Fazira dan Mohd Fahmi yang bernikah pada 17 Nov 2012 setelah mendapat kebenaran Mahkamah Rendah Syariah Kulim disahkan bercerai pada 11 Nov lepas.

Kes perceraian pasangan muda itu mendapat perhatian akhbar apabila bapa Nor Fazira, Saad Mustafa, 44, membuat kenyataan bahawa anaknya telah dirogol tiga lelaki termasuk bekas suaminya itu.

–BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.