Harun Salim Bachik Putuskan Keluar Daripada Seniman

PETALING JAYA 5 Dis. – Bekas Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Harun Salim Bachik membuat keputusan untuk menarik diri daripada menjadi ahli persatuan itu.

Pelakon dan pelawak yang menerajui persatuan itu pada 2010 hingga 2012 itu berkata, perkara itu akan dibuat selepas kes saman yang membabitkannya serta beberapa ahli lain seperti Zed Zaidi dan Yusof Kelana selesai.

“Saya akan bayar saman tersebut dan serta-merta keluar daripada persatuan. Buat apa lagi hendak tunggu, tak mungkin saya akan (dapat) berjasa untuk Seniman lagi.

“Jika dahulu, Seniman akan menguruskan setiap masalah para penggiat seni tanah air. Tetapi bila dah jadi begini, pada siapa saya hendak mengadu. Saya rasa tertipu dan teraniaya,” katanya yang ditemui ketika sesi pratonton filem Papadom 2 di Damansara, semalam.

Tambah Harun, dia reda dan terima dengan setiap keputusan yang telah ditetapkan.

“Apa yang saya tahu, saya tidak buat perkara tersebut, biarlah apa orang hendak cakap, yang penting Allah maha mengetahui atas sebarang tindakan saya.

“Saya tetap akan meneruskan kerjaya dalam bidang seni, jika tidak apa lagi yang saya hendak buat. Saya harap tiada apa-apa masalah untuk masa akan datang. Orang juga kenal sepanjang perjalanan karier saya memang tiada isu,” katanya.

Tambahnya, selama berkecimpung dalam bidang industri, beliau hanya berpegang kepada satu prinsip.

“Saya percaya, selagi saya tidak menganiaya orang, orang tidak akan buat benda yang sama pada saya. Mungkin ada petunjuk di sebalik kejadian ini,” katanya yang turut berlakon dalam filem Ular bersama pelakon Lisa Surihani.

Pada 25 Januari lepas lima artis veteran telah memfailkan saman terhadap persatuan itu termasuk pemimpin-pemimpinnya bagi mendapatkan perintah mahkamah untuk mengisytiharkan mesyuarat agung ke-14 persatuan berkenaan pada 25 Mei 2012 tidak sah kerana disyaki berlaku penyelewengan dan beberapa perkara termasuk pemalsuan pindaan undang-undang.

Lima artis veteran berkenaan yang dinamakan sebagai plaintif ialah Abu Bakar Omar, Sahlan Sudiran (Sahlan), Roslinda Buang, Mior Ahmat Zaudi Mior Ali dan Datuk Abdullah Sani. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.