Dipenjara Akibat Curi TV Masjid

AYER KEROH – Dua sahabat dihukum penjara satu bulan dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini kerana mencuri televisyen di dalam masjid bulan lalu.

Tertuduh, Muhammad Al Amin Jafary, 20, dan Mohd Fahmi Fadzil Rose Afandi, 19, dijatuhi hukuman tersebut selepas kedua-duanya mengaku bersalah di depan Majistret Mohd Firdaus Saleh.

Tertuduh didakwa mencuri sebuah televisyen jenama LG bernilai RM2,000 kepunyaan Masjid As Syuhada, Kem Terendak dari jam 9 malam pada 19 November hingga 5 pagi, 20 November lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pengadu yang juga imam masjid berkenaan meninggalkan rumah ibadat itu dalam keadaan baik kira-kira jam 9 malam.

Namun, ketika tiba ke masjid kira-kira jam 5 pagi keesokan harinya, pengadu mendapati televisyen LCD yang digantung di belakang saf perempuan hilang, lalu membuat laporan di Balai Polis Sungai Udang.

Pada 20 November 2013, pihak polis yang menerima maklumat telah pergi ke sebuah rumah di Taman Terendak Permai dan menahan kedua-dua tertuduh, sebelum pengadu membuat pengecaman televisyen berkenaan melalui nombor siri.

Terdahulu, Muhammad Al Amin merayu supaya hukuman terhadapnya diringankan kerana mahu menyambung pelajaran di sebuah kolej komuniti, sementara Mohd Fahmi perlu menanggung adiknya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Norshazwani Ishak meminta mahkamah memberikan hukuman literan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang awam yang lain supaya tidak melakukan jenayah sama.

“Hukuman bersesuaian wajar diberikan terhadap tertuduh yang melakukan jenayah tersebut di dalam masjid yang menjadi tempat ibadah Muslim,” katanya.

Selepas meneliti fakta kes, rayuan kedua-dua tertuduh dan hujah pihak pendakwaan, Mohd Firdaus kemudian menjatuhkan hukuman penjara satu bulan dan denda RM2,000 atau empat bulan penjara jika gagal membayar denda bagi kedua-dua tertuduh. – Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.