Wanita OKU Kecewa KWSP Tolak Rayuan Pengeluaran Hilang Upaya

KUALA LUMPUR – Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) meluahkan rasa terkilan dan kecewa apabila rayuannya kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk mengeluarkan wang simpanan menerusi Pengeluaran Hilang Upaya ditolak agensi kerajaan itu.

Wanita yang memegang kad OKU Malaysia yang hanya mahu dikenali sebagai Fauziah dalam aduannya kepada SuaraTV berkata, pelbagai halangan terpaksa dilalui sepanjang proses merayu pengeluaran tersebut.

“Saya ada buat rayuan kepada KWSP untuk pengeluaran hilang upaya, sebab penyakit saya termasuk iaitu hilang upaya mental saya menghidapi major depresive disoder dan pshycosis

“Laporan perubatan standard KWSP saya perlu bayar RM80.00. (Pada) 7/10/2019 saya ditemuduga oleh doktor panel KWSP, selepas seminggu saya dapat surat mengatakan rayuan saya ditolak.

“Saya dapat surat dari KWSP mengatakan saya tak layak, (mereka kata) saya masih boleh bekerja, padahal saya dah bertahun tahun tak kerja (hilang upaya kerja),” ujarnya.

Susulan penolakan itu, Fauziah diberitahu supaya membuat rayuan terbaru dalam tempoh 30 hari bersama laporan perubatan hospital. Namun setelah dihantar kepada KWSP Batu Pahat, Fauziah mendakwa pegawai terlibat seperti merendah-rendahkan rayuannya.

“Saya cuba untuk dapatkan laporan perubatan dari hospital secepatnya, kene bayar pula RM40 untuk laporan tambahan. Sebelum 30 hari saya dah dapat laporan perubatan tu kerana saya merayu pada jabatan rekod untuk cepatkan rekod perubatan saya tu.

“Khamis lepas 31 Oktober, saya pun hantar pada KWSP Batu Pahat, mula-mula pengurusnya kata dah tak boleh buat rayuan sedangkan masih belum 30 hari dari tempoh dlam surat tu. Saya kecewa sangat, kemudian saya tunjuk surat yang KWSP hantar baru dia percaya.

“Kemudian saya bagi dia laporan perubatan tambahan yang KWSP nak, lepas itu dia merendahkan saya mengatakan laporan ni sama je puan, laporan yang mula-mula dengan yang ni tiada beza. Selepas itu kata dia (pegawai) susah nak lulus ni,” katanya lagi.

Fauziah yang tinggal di sebuah daerah di Johor menyifatkan penolakan permohonan itu sebagai tidak bertimbang rasa terhadap dirinya yang berstatus OKU dan terpaksa berulang alik pergi dan balik sejauh 110 kilometer ke sebuah hospital kerajaan di Batu Pahat untuk tujuan rawatan.

“Saya setiap seminggu jumpa dengan doktor psy kerana saya sakit. Saya ni nak guna duit tu untuk bantu sara hidup saya nak berulang alik ke hosptal sejauh 110 km setiap seminggu dan saya sangat-sangat perlukan duit kerana pendapatan suami saya tak mencukupi.

“Tapi pihak KWSP patah-patahkan semangat saya. Walhal bukan banyak sangat pun simpanan saya tu,” ujarnya yang mengakui terlalu kecewa dengan respon KWSP Batu Pahat.

Fauziah yang akan mendapatkan rawatan susulan Khamis ini amat berharap KWSP akan memberi perhatian serius terhadap masalah yang dihadapi berhubung rayuan pengeluaran hilang upaya itu.

“Saya kalau boleh nak pihak KWSP tahu aduan saya ni, sebab saya sedih sangat mentang-mentanglah saya OKU saya tak layak dapat duit simpanan saya, padahal untuk berulang alik ke hospital,” ujarnya lagi.

Semakan SuaraTV di laman KWSP mendapati Pengeluaran Hilang Upaya ini akan membolehkan ahlinya mengeluarkan semua simpanan KWSP sekiranya tidak berupaya dari segi fizikal atau mental atau kehilangan keupayaan fungsional kekal untuk memperolehi pekerjaan.

Ahli juga adalah layak untuk mendapat bantuan tambahan melalui Bantuan Hilang Upaya sebanyak RM5,000 sekiranya memenuhi syarat-syarat kelayakan yang ditetapkan. – SuaraTV

Lain-lain berita;

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.