Kuliah Ditangguhkan, UAI Cedera Patah Tangan

KUALA TERENGGANU – Penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus (UAI) patah tangan kiri dan hidung selepas terjatuh basikal ketika perjalanan pulang ke rumahnya di Jalan Pusara, di sini, petang semalam.

Difahamkan, sebelum kejadian itu, UAI menyertai kayuhan santai bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah di sekitar bandar raya Kuala Terengganu.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 6.30 petang ketika UAI dalam perjalanan pulang ke rumahnya sebelum basikal ditungganginya tiba-tiba berhenti mengejut menyebabkan penceramah itu terjatuh atas jalan.

Pembantu khasnya, Wan Safari Wan Ahmad, berkata UAI kemudian dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bagi mendapatkan rawatan segera.

“Kami bersyukur kerana ketika kejadian, peserta yang mengikuti kayuhan santai masih berada di kawasan berhampiran dan segera menghulurkan bantuan.

“UAI masih dirawat di Unit Kecemasan dan sedang diperiksa pakar. Beliau mungkin menjalani pembedahan segera malam ini.

“Bagaimanapun, ia terpulang kepada keputusan pakar dan doktor yang merawatnya,” katanya ketika dihubungi, malam tadi.

Beliau berkata, orang ramai terutama penggemar ceramah atau peminat UAI tidak perlu bimbang atau membuat sebarang spekulasi.

Difahamkan, lapan peserta mengikuti kayuhan santai bermula dari Masjid Khalifah di Jalan Pusara dan ke sekitar bandar raya ini sebelum kembali semula ke masjid berkenaan.

Sementara itu, akaun Facebook Ustaz Azhar Idrus (Original) ada memaklumkan semua kuliah yang sepatutnya disampaikan UAI terpaksa ditangguh sehingga diberitahu kelak kerana beliau perlu berehat akibat terbabit kemalangan berkenaan. – BH

Lain-lain berita;

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.