PKR Perlu Ada Keberanian Siasat Isu ‘Ahli Hantu’ – Zuraida

SIBU – Kepemimpinan PKR didesak agar meneliti isu keahliannya di Julau, di sini dan tidak terus berada dalam ‘sindrom penafian’.

Calon Naib Presiden PKR, Zuraida Kamarudin, berkata kepemimpinan parti itu juga perlu memiliki ‘keberanian’ untuk membuat keputusan berhubung peningkatan mendadak keahlian di cabang itu yang mencetuskan banyak tanda tanya.

Beliau berkata, sudah banyak aduan diterima berhubung kes di Julau membabitkan ketidakpatuhan proses pendaftaran ahli selain keraguan keahlian.

Terbaru, katanya, tujuh ahli Parti Rakyat Sarawak (PRS) membuat aduan nama mereka tersenarai sebagai ahli PKR sedangkan mereka tidak pernah menyertai parti itu.

“Kalau satu atau dua kes kita boleh terima kerana mungkin tersilap, tetapi ini aduan daripada kumpulan yang ramai. Ini sesuatu yang saya panggil satu skandal atau sindiket terancang.

“Setahu saya bukti jelas sudah ditunjukkan. Kepemimpinan parti perlu buat keputusan. Jika mereka tidak mahu membuat keputusan dan jika mahu teruskan pemilihan, semestinya kita bersedia untuk menghadapinya,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan kerja ke beberapa rumah panjang sekitar Kanowit, di sini petang semalam.

Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, setakat ini pihaknya belum menerima apa-apa maklumat sama ada pemilihan di Julau akan ditangguhkan.

“Kita ada tempoh seminggu…kita lihat apa keputusan pemimpin sama ada mahu hentikan atau teruskan. Mereka harus hadapi kesannya. Bagaimanapun, saya amat berharap akan ada mesyuarat di peringkat Pusat diadakan untuk membincangkan isu ini.

“Setakat ini perkara ini sudah dibawa ke mesyuarat peringkat Pusat beberapa kali tetapi belum ada keputusan. Harap akan ada mesyuarat dan untuk kebaikan parti, satu keputusan bijak dan adil harus dibuat,” katanya.

Cabang Julau mencuri tumpuan apabila jumlah keahlian naik daripada 603 ahli kepada 13,000 ahli dalam tempoh sehari pada 27 Jun lalu.

Difahamkan, satu laporan turut dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) minggu lalu berhubung isu berkenaan.

Semalam, sepasukan pegawai dan anggota SPRM dilaporkan ke Pusat Khidmat Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien di Julau bagi mendapatkan dokumen berkaitan untuk tujuan siasatan.

Mengenai sentimen penyokong di Sarawak, Zuraida yakin wilayah tengah negeri ini adalah kubu kuat kem Datuk Seri Azmin Ali. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.