Netflix, Spotify Dicukai Bukan Sekat Rakyat Berhibur

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh berkata cukai yang dikenakan kepada perkhidmatan penstriman video, Netflix dan penstriman audio, Spotify yang diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2019 bukan bertujuan menyekat rakyat berhibur.

Katanya, keputusan mengenakan cukai terhadap 2 platform digital asing itu dibuat selepas kajian oleh Kementerian Kewangan.

“Kita lihat ramai sangat yang guna perkhidmatan itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Fiesta Deepavali 2018 di Jalan Tun Sambhantan hari ini.

Sebelum ini, Menteri Kewangan sewaktu pembentangan Bajet 2019 mengumumkan perkhidmatan penstriman muzik dan video serta platform perdagangan elektronik syarikat antarabangsa akan dikenakan cukai perkhidmatan.

Selain Netflix dan Spotify, turut terkesan adalah platform permainan komputer, Steam dan e-dagang Alibaba.

Kerajaan berkata langkah itu akan mengimbangkan persaingan antara peruncit kedai dan kedai dalam talian, terutamanya perniagaan dalam talian milik syarikat luar negeri.

Langkah mengenakan cukai ke atas platform digital asing diajukan sejak 2016 lagi bagi mewujudkan persekitaran pasaran yang adil.

Ketika itu, Menteri Kewangan II Datuk Johari Abdul Ghani dilapor berkata platform digital asing menjana pulangan berbilion dolar namun tidak dikenakan cukai, menyebabkan syarikat tempatan menjadi tidak kompetitif.

Gobind turut ditanya tentang isu penyelarasan dan pengesahan akaun media sosial rasmi kerajaan, kementerian dan agensi-agensinya dan berkata isu itu dalam perhatiannya.

“Terdapat 2 kategori yang kita lihat iaitu pengendali nama yang tidak rasmi dan satu lagi tanpa nama (anonymous).

“Ianya satu cabaran kepada kita untuk selaraskan semua akaun rasmi kerajaan dan agensi kerajaan kerana media sosial ini sifatnya luas. Kita masih tiada keputusan muktamad tentang mekanisme untuk selaraskan semua akaun kerajaan,” katanya. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.