Mahkamah Rayuan Tolak Permohonan Cabar Kesahihan UMNO

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini, menolak rayuan 16 bekas ahli UMNO yang mencabar kesahihan parti itu apabila didakwa melanggar perlembagaan parti.

Ia berikutan parti itu gagal membuat pemilihan di peringkat cawangan, bahagian dan Ahli Majlis Tertinggi dalam masa yang ditetapkan iaitu selama hampir lima tahun.

Panel tiga hakim Datuk Dr Badariah Sahamid dalam keputusan sebulat suara berkata tidak ada alasan untuk mengganggu keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini.

“Seksyen 18 C Akta Persatuan menetapkan bahawa keputusan membabitkan parti adalah muktamad dan tidak boleh dicabar, dirayu atau dipersoalkan di mahkamah.

“Oleh itu mahkamah mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang menolak permohonan 16 bekas ahli itu bagi mendapatkan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman,” katanya.

Tiada sebarang perintah berhubung kos.

Turut bersidang bersama adalah Datuk Kamardin Hashim dan Datuk Zabariah Mohd Yusof.

16 ahli UMNO diwakili peguam Muhammad Haniff Khatri Abdulla manakala Pendaftar Pertubuhan diwakili Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan.

Pada 27 April lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan 16 pemohon yang diwakili Salihudin Ahmad Khalid untuk mendapatkan kebenaran bagi semakan kehakiman selepas membenarkan bantahan awal Pejabat Peguam Negara.

Dalam permohonan itu, Pendaftar Pertubuhan dinamakan selaku responden pertama, manakala Datuk Ab Rauf Yusoh selaku Setiausaha Kerja UMNO ketika itu, dinamakan sebagai responden kedua dalam kapasitinya sebagai penjawat awam UMNO.

Mahkamah Tinggi memutuskan, ia tiada bidang kuasa untuk mendengar perkara membabitkan pertikaian ahli dalam parti politik dan Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 menetapkan, keputusan parti politik atau perkara membabitkan hal ehwal perjalanan parti adalah muktamad, tidak boleh dicabar, dirayu, disemak, dibatalkan atau dipertikaikan di mana-mana mahkamah. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.