Hasnul Enggan Letak Jawatan Presiden PAFA Walaupun Didesak Penyokong Perak

IPOH – “Sekiranya dia (Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim) masih enggan letak jawatan sebagai Presiden Pafa, kami akan serah memorandum kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu,” tegas penyokong pasukan bola sepak Perak.

Mereka merupakan sebahagian daripada 200 orang penyokong The Bos Gaurus yang berhimpun di hadapan Stadium Perak, di sini bagi mendesak Hasnul untuk meletakkan jawatan, seterusnya memberi laluan kepada Ahmad Shahrul Azhar Sofian yang lebih berpengalaman.

Menurut Muhammad Khairul Muzamir Mohd Rudzlan, 33, bantahan itu tidak ada kena mengena dengan unsur politik sebagaimana yang didakwa oleh segelintir pihak.

“Sudah seminggu berakhir Piala Malaysia masih lagi tiada sambutan kejayaan pasukan Perak, dia mencabul kehormatan Piala Malaysia itu sendiri, dia tangkap gambar, dia upload di Facebook seolah-olah piala itu dia yang punya.

“Kami desak dia letak jawatan, dan mahu bekas setiausaha kehormat Pafa, Ahmad Shahrul Azhar sebagai ganti disebabkan dia tahu tentang bola. Jangan politikkan bola tidak kiralah dari parti mana sekalipun.

“Dulu alasan dia kata tunggu MB, tapi sekarang dah Ahad kedua, masih lagi tiada sambutan, kalau ada sambutan sekalipun kami hanya akan raikan dengan para pemain tapi bukan dengan Presiden Pafa,” katanya ketika ditemui pemberita pada Ahad.

Sementara itu, Mohd Shirin Adnan pula berpendapat Hasnul gagal mentadbir pasukan negeri Perak, katanya beliau juga mewakili penyokong pasukan itu tidak mahu ahli politik terlibat dalam bidang sukan.

“Saya nak pesan satu sahaja, pada tahun 2008 saya pernah mendakap Piala Malaysia tetapi bukan di celah kangkang… Piala Malaysia dijulang dan pastikan ia piala keramat bukan suka-suka dijaja untuk kepuasan sendiri.

“Hargailah peminat, hargai pemain dan hargai sokongan dari penyokong Perak, jangan politikkan sukan,” tegasnya.

Baru-baru ini, Hasnul memohon maaf dan mengaku kekhilafan dirinya sewaktu bergambar dengan trofi Piala Malaysia ketika makan mi segera di dalam bilik hotel dan tepi kolam renang sebagaimana tular di media sosial.

Beliau menjelaskan tiada niat untuk berkongsi gambar tersebut dengan netizen di laman sosial dan hanya digunakan untuk simpanan peribadi.

Hasnul setakat ini bagaimanapun, tidak berganjak daripada pendiriannya untuk terus memegang jawatan itu walaupun menerima desakan. – Awani

One thought on “Hasnul Enggan Letak Jawatan Presiden PAFA Walaupun Didesak Penyokong Perak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.