Hampir 8,000 Nelayan Dikeluarkan Daripada ESH

KUALA LUMPUR: Hampir 8,000 nelayan ditapis dan dikeluarkan daripada senarai penerima Elaun Sara Hidup (ESH) menerusi proses pemutihan yang dilaksanakan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil, berkata proses pemutihan itu masih dijalankan dan akan berterusan bagi memastikan hanya nelayan sebenar dan layak menikmati bantuan berkenaan.

“Proses pemutihan ini penting kerana kita mahu golongan nelayan tulen yang memenuhi kriteria ditetapkan LKIM sahaja menerima bantuan berkenaan antaranya mereka perlu turun ke laut lebih daripada 120 hari.

“Walau bagaimanapun, mereka yang dikeluarkan itu boleh membuat rayuan kepada Persatuan Nelayan dengan mengemukakan alasan yang munasabah untuk dipertimbangkan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penutupan Persidangan Persatuan Nelayan Kebangsaan 2018 di sini, hari ini.

Beliau berkata, menerusi insentif itu kerajaan mensasarkan lebih 40,000 nelayan menerima bantuan ESH berkenaan.

Katanya, insentif ESH dan dua lagi insentif khas kepada golongan nelayan iaitu subsidi minyak dan elaun hasil tangkapan masih diteruskan meskipun terdapat pengurangan jumlah peruntukan seperti diumumkan dalam Belanjawan 2019.

“Pihak pengurusan LKIM akan berjumpa dan berbincang dengan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dalam masa terdekat bagi membincangkan mengenai perkara ini.

“Kita akan mencari kaedah pelaksanaan baharu atau penstrukturan semula insentif berkenaan dengan peruntukan kewangan sedia ada yang diberikan kerajaan,” katanya.

Persidangan yang berlangsung empat hari itu mengumpulkan lebih 200 orang pengurus dan pengerusi persatuan nelayan yang memfokuskan penilaian prestasi kemajuan tahunan.

Dalam ucapannya, Muhammad Fadzil berkata, nelayan perlu meningkatkan kemahiran diri menerusi latihan dan bimbingan disediakan kerajaan selain menceburi bidang akuakultur bagi mengurangkan kebergantungan kepada import dan sumber di laut. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.