Belanjawan 2019 Pinggirkan Pemandu Teksi?

KUALA LUMPUR –  Pemandu teksi mendakwa Belanjawan 2019 meminggirkan golongan itu.

Penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn. Bhd., Datuk Shamsubahrin Ismail berkata, Belanjawan 2019 seolah-olah meminggirkan industri dan pemandu teksi.

Menurutnya, apa yang diharapkan adalah tentang pengumuman bantuan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) untuk pemandu teksi namun perkara itu tidak berlaku.

“Ramai kalangan pemandu teksi yang sehingga kini masih tidak mempunyai rumah, mereka menyewa bilik dan rumah.

“Sebelum ini, ada pemandu yang telah memohon dengan DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) dan diluluskan tapi sehingga kini projek tidak berjalan,” katanya ketika sidang media dipejabatnya hari ini.

Shamsubahrin berkata, sekarang kita dah ada kerajaan baru dan berharap Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraidah Kamaruddin dapat membantu pemandu teksi memiliki rumah PPRT.

“Kami juga sebenarnya mengharapkan diperbanyakkan lagi stesen minyak yang menyediakan perkhidmatan mengisi NGV (tenaga gas asli).

“Begitu juga harapan kami agar pinjaman MARA pemandu teksi yang digunakan untuk membeli teksi dapat dihapuskan.

“Tapi nampaknya perkara itu tidak berlaku dalam Belanjawan 2019, dan pemandu teksi merasa sedih dengan perkara itu,” katanya lagi. – SINAR HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.