Usia Bataskan Kerjaya Lakonan Didie Alias

KUALA LUMPUR: Didie Alias mengakui, terpaksa membataskan kemunculannya dalam dunia lakonan apabila sering diberikan watak yang tidak bersesuaian dengan usia.

Didie atau nama sebenarnya, Fadzilah Mohd Ali, 45, bagaimanapun, masih aktif dalam kerjaya seni dengan menumpukan fokusnya kepada bidang pengacaraan, cuma kurang diberi pendedahan di media massa.

“Kebanyakan tawaran yang diterima lebih terarah kepada bidang pengacaraan. Alhamdulillah, biarpun tanpa publisiti meluas, saya masih menerima tawaran mengacara untuk majlis makan malam dan hari keluarga.

“Mengenai lakonan, secara jujur saya perlu lebih selektif kerana kebanyakan watak yang ditawarkan tidak bersesuaian dengan usia. Saya bukan muda lagi, jadi saya perlukan karakter yang serasi dengan kematangan dan jiwa.

“Ruang yang ada itu saya isi dengan mengacara selain memberikan fokus kepada penganjuran karnival Le Fest Tour yang saya usahakan,” katanya.

Didie yang pernah tiga kali menjulang trofi Artis Komedi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) membayangkan untuk kembali memeriahkan dunia lakonan tahun depan, selain berharap diberi peluang beraksi di pentas besar sebagai pengacara.

Ketika ini, drama terbaru lakonannya, Mr Hijab yang menampilkan Nabila Huda dan Sharnaaz Ahmad sebagai pelakon utama sedang disiarkan menerusi TV3. Didie berkata, kemunculan dalam drama itu sedikit sebanyak mengubat kerinduannya kepada dunia lakonan.

Selain itu, Didie juga bakal muncul dalam drama Bilo Nogori Jupo Kelate juga di TV3 yang diterajui Mia Ahmad dan Nazrief Nazri.

Mengenai penganjuran Lefest Tour, Didie berkata, kemuncak acara itu akan berlangsung pada 8 hingga 10 Disember ini di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Melaka.

“Kali ini, saya akan balik ke kampung pada acara yang bakal mengumpulkan 200 usahawan tempatan, termasuk lebih 30 selebriti. Alhamdulillah, sepanjang dianjurkan, karnival ini sentiasa mendapat sambutan positif,” katanya yang turut terbabit dalam penerbitan program travelog 13 episod di RTM.-BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.