Rita Hanya Mahu Anak-Anak Gembira

Dikecam dan menerima pelbagai komen negatif di akaun Instagram bukanlah perkara baharu dalam hidup aktres jelita, Rita Rudaini.

Ironinya, dia tidak pernah lelah membalas semua komen negatif yang dilemparkan jika berasakan ia keterlaluan dan mengganggu gugat kehidupannya dan anak-anak.

Maka, apabila ada netizen yang mempertikaikan aktres itu membenarkan anak-anaknya, Airit Rayyan Rizqin, 8, dan Airit Qaqa Arjuna, 6, menyambut perayaan Halloween baru-baru, Rita tidak dapat menahan diri untuk membalas komen tersebut.

Netizen kurang senang melihat Rita membenarkan anak-anaknya menyambut Halloween termasuk mengenakan solekan ala drakula kepada Arjuna dan menghiasi rumah dengan labu-labu yang diukir.

Ada netizen yang menulis ‘Kenapa tidak pasang salib? Asal niat sekadar berseronok, tetapi siap hias rumah dengan labu dan melukis. Baik pasang salib terus. Semua jadi halal apabila hidup bermasyarakat. Yeah 1Malaysia’.

Ternyata, kata-kata ‘pedih’ tersebut dan beberapa netizen lagi mengundang rasa kurang senang Rita.

Rita ketika dihubungi Sensasi Bintang menyifatkan netizen-netizen yang mengecamnya sebagai keterlaluan.

“Jiran-jiran di kawasan perumahan saya setiap tahun buat sambutan Halloween. Tahun lepas, anak-anak saya bersama kawan-kawannya sekadar pergi mendapatkan gula-gula di rumah-rumah yang menyambutnya. Namun, pada tahun ini disebabkan saya tiada penggambaran dan mempunyai kelapangan, saya membuat sedikit dekorasi dan menyediakan gula-gula untuk sekadar bergembira bersama anak-anak dan jiran tetangga. Tiada niat apa-apapun. Saya sekadar menggembirakan hati anak-anak dan kanak-kanak di kawasan tersebut,” jelasnya yang turut memberitahu jiran tetangganya turut menyediakan pelbagai permainan untuk anak-anak gembira.

 

RITA RUDAINI sedih kerana netizen melontarkan komen yang teruk kepadanya secara terbuka dan baginya adalah lebih baik menghantar mesej secara peribadi di laman sosial.

Tiada niat untuk menyambut sambutan tersebut, namun Rita sekadar ingin menyeronokkan hati anak-anaknya yang berkawan dengan pelbagai bangsa dan agama di kawasan kejiranan tersebut.

“Biarlah anak-anak nak pergi kutip gula-gula. Tiada yang salah pun. Bukan niat saya untuk menyambutnya. Namun, saya turut menyediakan gula-gula untuk kanak-kanak yang datang ke rumah bagi membalas balik apa yang ibu mereka lakukan. Ia sekadar menyeronokkan hati kanak-kanak. Ramai sahaja orang Islam yang memakaikan anak dengan baju cheongsam dan sari untuk sambutan perayaan Tahun Baru Cina serta Deepavali di sekolah.

“Majlis berinai? Itu budaya kitakah? Sambutan Hari Ibu pula bagaimana? Netizen yang suka mengecam dengan kata-kata yang tidak baik ini saya anggap mereka sebagai tidak normal,” ujarnya.

Sudah lali kerana acapkali menjadi mangsa kecaman netizen di Instagram, namun pelakon berusia 41 tahun itu tidak akan sesekali membiarkan individu tersebut memijak kepalanya. Maka, jika ada kelapangan dia akan membalas setiap komen-komen yang disifatkan melampau itu.

“Kadang-kadang apabila saya rasa nak komen saya akan komen. Sebab saya tahu mereka (pembenci) perlukan perhatian. Tidak salah saya beri secubit perhatian pada netizen,” getus Rita dengan nada sinis.

Berkongsi mengenai kedua-dua anaknya Rayyan dan Arjuna, Rita mengaku, dia akan memberikan yang terbaik buat anak-anak termasuk ilmu akhirat.

“Alhamdulillah dari segi pelajaran mereka sangat fokus. Pada masa sama, saya turut memanggil ustaz untuk mengajar anak-anak mengaji. Alhamdulillah, sudah banyak surah yang dihafal anak-anak,” kongsinya.

Dalam perkembangan lain, Rita akan muncul dalam beberapa buah drama termasuk telemovie dengan syarikat produksi Zeel Production Sdn. Bhd.

“Saya tidak dapat ambil tawaran lakonan secara terus-menerus kerana saya juga kena meluangkan masa untuk anak-anak,” ujarnya seraya menoktah bicara.-Kosmo

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.