Polis Rakam Keterangan Raja Petra Di UK

Polis telah merakam keterangan Raja Petra Kamarudin susulan laporan polis dibuat Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang mendakwa penulis blog itu memfitnahnya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata keterangan Raja Petra diambil di United Kingdom pada Rabu lalu oleh pasukan penyiasat terdiri daripada tiga pegawai polis Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

“Ya, pasukan penyiasat telah merakam keterangannya,” kata Mohamad Fuzi ketika dihubungi Bernama hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Selasa lepas, Mohamed Apandi berkata beliau akan memulakan tindakan undang-undang terhadap Raja Petra jika penulis blog itu enggan memohon maaf berhubung dua artikel mengenai dakwaan rasuah.

Beliau juga dilaporkan berkata tidak akan memberi masa yang lama kepada Raja Petra untuk berbuat demikian memandangkan isyarat dan ingatan sudah disampaikan melalui media.

Pada 22 Okt lepas, Mohamed Apandi membuat laporan polis terhadap Raja Petra atas dakwaan jenayah fitnah susulan dua artikel itu yang disiarkan pada 20 dan 21 Okt lalu oleh laman blog Malaysia Today.-Bernama

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.